Thursday, 8 October 2015

Ketua Pemuda Pahang Lantang Pertahan Presiden Umno.

PENGUKUHAN PARTI UMNO TANGGUNGJAWAB BERSAMA – PEMUDA UMNO PAHANG

1. Pemuda UMNO Pahang ingin menegaskan bahawa UMNO sekarang berada pada peringkat pengukuhan yang memerlukan komitmen kepimpinan semua peringkat dan seluruh ahli UMNO. Langkah ini penting bagi membolehkan UMNO melaksanakan langkah seterusnya bagi mengembalikan keyakinan rakyat menerima UMNO sebagai sebuah parti yang wajib diberikan mandat untuk menunjangi pemerintahan dan pentadbiran negara.

2. Kini, masa yang berbaki hanya tidak lebih daripada 31 bulan sebelum menjelangnya PRU 14, maka segala gerak kerja mestilah ditumpukan kepada memenangi hati dan jiwa rakyat supaya mereka terus memberikan kepercayaan kepada UMNO dan BN untuk terus menerajui pemerintahan negara demi  perpaduan, kestabilan dan kemakmuran bumi bertuah Malaysia ini.

3. Oleh yang demikian, untuk mencapai matlamat ini, adalah menjadi tanggungjawab ahli UMNO semua peringkat  memberikan sokongan kepada YAB Dato' Sri Mohd. Najib Tun Abdul Razak dan barisan kepemimpinannya dalam usaha menangani dan memulihkan keadaan politik demi keutuhan UMNO dan BN.

4. Justeru itu, Pemuda UMNO Pahang ingin menyeru semua ahli UMNO khususnya ahli UMNO Pahang agar terus bersatu hati dan kekal setia berjuang untuk mempertahankan maruah dan kredibiliti UMNO daripada dirosakkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Mohd Shahar Abdullah
Ketua Pemuda UMNO Pahang
8 Oktober 2015

No comments:

Post a Comment