Thursday 24 November 2016

DUN PAHANG PERLU ANJAKAN PARADIGMA HADAPI PRU14 - KEKALKAN ORANG LAMA ATAU KENALKAN CALON BERPOTENSI MENANG?





DUN PAHANG KEKAL KUBU KUAT BN ATAU BERSEDIA HILANG KERUSI?

Selesa dengan kemenangan dalam PRU13 lepas, Pahang yang menjadi antara kubu kuat Barisan Nasional kini perlu menghadapi realiti politik semasa. Berdepan dengan kewujudan Parti Amanah Nasional (PAN) serta Parti Pribumi Bersatu yang dijangkakan akan meletak calon bagi merebut sejumlah 42 kerusi di DUN Pahang, BN perlu menjangkakan saingan sengit berlaku. Walau isu nasional seperti tidak memberi kesan terhadap kedudukan BN selaku kerajaan negeri, tentangan yang bekal berlaku tidak boleh diperkecilkan.

Walau peratusan sebanyak 88.10% dari 100% di pegang BN, rakyat Pahang sedikit sebanyak terkesan dengan segala 'ceritera' yang dibawakan pembangkang dalam usaha melumpuhkan pengaruh BN di kalangan rakyat Pahang. Keadaan ini diburukkan lagi dengan pelbagai persepsi yang ditaburkan kepada usaha ADUN terhadap rakyat Pahang. Mereka turut memain peranan memberi imej negatif kepada usaha Umno selaku parti dominan dalam kerajaan Pahang.

Keperluan untuk ADUN turun padang bukan sahaja untuk mendengar tetapi meyelesaikan permasalahan rakyat turut menjadi perhatian dan pertimbangan dalam PRU14 kelak. Bagi ADUN yang berkhidmat dengan cemerlang, sekalipun tidak terpilih mewakili kawasan lagi pasti mereka akan meninggalkan legasi yang akan di kenang rakyat mengenai kebaikan hubungan antara rakyat dan wakil rakyat. Ini sekaligus mampu membantu imej positif kepada BN bagi meyakinkan rakyat BN perlu dikekalkan sebagai kerajaan bagi menjamin kesejahteraan Pahang dan memajukan negeri Tok Gajah.

Namun demikian kehadiran parti baru dalam arus politik perdana dan negeri perlu di kekang pengaruhnya dari terus melebarkan sayap di kalangan pengundi. Apakah BN Pahang bersedia menghadapi kemungkinan peralihan pola undian? Bagaimana jika rakyat Pahang mahu beralih selera dan memilih pihak lain sebagai kerajaan negeri? Ada beberapa kriteria yang dipertimbangkan rakyat dalam menterjemahkan suara mereka ke kertas undian dan BN Pahang perlu berwaspada. Seandainya pihak pembangkang berjaya memainkan emosi rakyat dalam isu tempatan kemungkinan berlaku peralihan undian bakal berlaku dan ketika itu sudah terlambat bagi BN dan Umno Pahang untuk menyedari kesilapan yang terjadi. Sikap tidak acuh kepada keluhan rakyat tempatan turut menjadi faktor kemungkinan peralihan kuasa di Pahang. 

Sikap berasa selesa wakil rakyat BN Pahang perlu di kikis dari menjadi 'barah' yang akan menghancurkan kepercayaan rakyat terhadap BN Pahang. Mungkin kerana sudah terlalu lama berada dalam 'zon selesa' maka sesetengah wakil rakyat tidak berasa gusar akan pertentangan yang bakal dihadapi kelak. Tidak menafikan usaha wakil rakyat kepada pengundi tempatan, seharusnya ADUN perlu mencontohi cara Perdana Menteri yang mengurangkan protokol setiap kali bertemu rakyat bagi mendengar keluhan mereka. Perlu diingatkan juga kepada ADUN tanpa rakyat dan sokongan mereka tidak akan menikmati kedudukan sekarang. 

Perbandingan cara layanan antara pembangkang dan BN dalam melayani pengundi juga memainkan peranan besar dalam mempengaruhi pengundi. Adakah wakil BN akan terus berada dalam 'zon protokol' untuk bertemu rakyat atau berubah dengan mengurangkan birokrasi apabila bersama sama pengundi? Jika perubahan dilakukan mungkin 9.53% pengundi pembangkang mampu dikecilkan sekaligus menolak kehadiran mereka di Pahang selain kerja keras oleh wakil rakyat yang tidak sekadar 'melepas batuk di tangga'.

Sebagai rekod Umno Pahang memegang 69.05% daripada 88.10% kerusi DUN Pahang, manakala MCA 14.29%, MIC 2.38%, Gerakan 2.38% dalam DUN Pahang. Peratusan ini boleh meningkat atau menurun berdasarkan prestasi wakil rakyat serta cara mereka menangani isu setempat dan sikap ADUN terhadap pengundi. Pembangkang yang hanya memegang sebanyak 9.52% kerusi DUN pula akan mengalami pecahan lebih besar dengan kenyataan Pakatan Harapan yang mahu parti yang bersekutu dalam PH bertanding 1 lawan 1 di setiap kerusi DUN. Pecahan bagi Pakatan Harapan di kerusi DUN Pahang ialah DAP 4.76% dan PAS 4.76%. Jelas sekali menunjukkan PKR tidak berupaya mempengaruhi pengundi Pahang namun demikian situasi ini mungkin berubah dengan kehadiran PAN dan PPBM pada PRU14 akan datang.

Apa yang boleh dilakukan Umno dan BN Pahang kini adalah memenangi kembali keyakinan rakyat Pahang bagi terus meberi mandat kepada BN untuk mentadbir Pahang, cuma cara bagaimana dan yang perlu BN implementasikan bergantung kepada kekuatan BN itu sendiri. Selaku pengundi BN dalam PRU13, penulis berharap BN kekal dalam Pahang sebagai kerajaan negeri dan menjadi harapan agar penambahbaikan dapat dilakukan oleh wakil rakyat yang bakal di pilih kelak. 

"JANGAN ULANG SILAP ORANG LAMA" 

Saturday 19 November 2016

JERANTUT HANTAR KETUA KAMPUNG SERTAI BERSIH 5 - APA KATA AHLI PARLIMEN JERANTUT?




DARI JERANTUT KE KUALA LUMPUR - KETUA KAMPUNG PATUT LETAK JAWATAN

Demonstrasi BERSIH 5 pada 19 November 2016 ternyata tidak membawa manfaat kepada negara jauh sekali untuk kepentingan rakyat. Selain dari hanya membuang masa,tenaga serta wang kerajaan, BERSIH hanya mendidik rakyat untuk menjadi biadap jika ada rassa tidak puas hati terhadap kerajaan.


Semalam seramai 15,500 orang menyertai himpunan haram yang mengambil tempat di tengah Ibukota dan ini sudah tentu bukanlah sesuatu yang baik kepada imej negara di mata pelancong asing. Ramai dari kalangan pemimpin pembangkang menyertai demo haram ini mengajak rakyat untuk menumbangkan kerajaan yang telah diberikan mandat oleh rakyat melalui sistem pilihanraya secara demokrasi pada PRU13.



Rakaman video terhadap peserta BERSIH 5 ternyata meberi gambaran bahawa mereka yang menyertai himpunan semalam merupakan individu yang termakan hasutan dan tidak tahu matlamat sebenar demo haram yang dianjurkan BERSIH serta di sokong parti pembangkang. Apa yang dikesalkan ialah penglibatan Ketua Kampung yang sepatutnya menjadi contoh kepada kampung serta penduduk kampung namun kerana termakan kisah dongeng pembangkang, beliau terlibat bersama peserta lain.



Mengaku sebagai seorang Ketua Kampung dari Jerantut, pakcik itu dengan bangganya mengaku bergerak dari kediamannya seawal jam 4 pagi bagi membolehkan beliau menyertai demonstrasi haram itu.





Namun apa yang menyedihkan apabila di tanya matlamat BERSIH, beliau terpinga dan mula bertanya kepada orang di sebelahnya. Jelas sekali sebagai seorang Ketua Kampung, beliau telah tertipu dengan hasutan pembangkang. Adakah benar dakwaan pakcik itu beliau merupakan seorang Ketua Kampung? 


Tonton video tersebut di SINI

Tuesday 15 November 2016

SAHUT SERUAN TN50 - MAJLIS BELIA MALAYSIA PERKASA ANAK MUDA MELALUI PROGRAM SANTAI






PERPADUAN KAUM JADI KEUTAMAAN MAJLIS BELIA MALAYSIA DALAM PROJEK PERINTIS KEM KEBUDAYAAN,PERPADUAN BELIA 1 MALAYSIA.

Menyedari keperluan semangat perpaduan antara kaum disuburkan dari generasi ke generasi, Majlis Belia Malaysia (MBM) mengambil langkah untuk mengadakan satu program bagi membantu kerajaan menyuburkan kembali semangat perpaduan di kalangan kaum di Malaysia.

Program berbentuk santai yang di rangka melibatkan penyertaan anak muda dari peringkat sekolah menengah dan remaja di rancang diadakan di Kompleks Rakan Muda Raub pada 18,19 dan 20 November 2016. Timbalan Presiden Majlis Belia Malaysia, Eric Choo berusaha membawa program ini ke daerah Raub dengan kerjasama Majlis Belia Daerah Raub (MBDR) buat julung kali sebagai projek perintis penyuburan perpaduan kaum Malaysia. Raub di pilih sebagai lokasi perintis projek ini kerana keunikan kehidupan masyarakat pelbagai kaum yang pernah menduduki antara tempat terbaik dalam Indeks Kebahagiaan Malaysia.

Program berbentuk santai yang dikenalkan dalam program ini akan memastikan pemahaman budaya antara kaum di kongsi bersama. Pertukaran budaya antara kaum dalam program ini di samping permainan yang sudah lama tidak diperkenalkan kepada Gen 'Y' merupakan antara objektif utama program tersebut.

Program ini juga menyahut seruan kerajaan yang mahu perpaduan kaum sentiasa diutamakan bagi menuju era Transformasi 50 yang diperkenalkan Perdana Menteri Malaysia Dato Sri Hj Mohd Najib Tun Abdul Razak yang mahu suara anak muda turut di angkat sebagai sebahagian daripada perancangan memacu Malaysia yang lebih gemilang.

Wednesday 9 November 2016

ARIFF SABRI LEBIH TERUK DARI WAKIL BN - RAUB TOLAK DAP






SELEPAS MENANG, AHLI PARLIMEN DAP RAUB 'HILANG' DARI RADAR

Selepas DAP merampas kerusi Parlimen Raub dari Barisan Nasional, bandar kecil ini seakan 'mati' tanpa ada sebarang pembangunan mahupun majlis bersama rakyat Raub dianjurkan oleh Ahli Parlimen DAP Dato Ariff Sabri. Bukan sahaja bab bersama rakyat malah lebih teruk Ariff tidak pernah muncul di khalayak ramai walau semasa hari Pasar Minggu yang diadakan setiap Ahad di tengah bandar Raub. 

Beliau yang mengecam bekas ahli parlimen sebelumnya berikutan dakwaan oleh ahli parlimen Seremban mengenai perbelanjaan sebanyak RM5.2 juta untuk mempromosi dan menganjurkan sebanyak 12 acara dari tahun 2011 hingga 2012. Mungkin MP Seremban tidak tahu sepanjang Ng Yen Yen menjadi MP Raub, banyak promosi pelancongan serta program bersama rakyat telah dilakukan serta program turun padang yang Ariff tidak lakukan dari mula menduduki kerusi Raub hingga kini.

Mengapa MP Seremban itu tidak berani pertikai perbelanjaan yang dilakukan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang untuk acara sambutan Tahun Baru Cina di Melaka? Dari mana pula datangnya perbelanjaan Setiausaha Agung DAP itu yang mampu membawakan acara penuh warna warni ke Melaka dan bukan di Pulau Pinang sedangkan beliau Ahli Parlimen dan ADUN di Pulau Pinang? Sikap 'Double Standard' DAP ini sering mereka sorokkan dan hanya menuding kepada BN untuk menutup kesalahan sendiri. Beranikah Anthony Loke bertanya kepada Lim Kit Siang akan dakwaan bekas ahli DAP berkaitan dana RM1.2 billion dari pihak Zionis? Atau lebih mudah berapakah perbelanjaan sambutan 'Harijadi' Lim Kit Siang di salah sebuah hotel mewah di Pulau Pinang? Dari mana pula datangnya wang tersebut?

Raub yang merupakan antara tarikan pelancong luar untuk mengahbiskan masa menikmati panorama indah serta meneroka hutan semulajadi sebenarnya telah berada dalam kelas tersendiri dengan pembabitan pelancong saban tahun menerusi acara 'Bird Fest' di Fraser Hill. Bukan itu sahaja, Raub juga menawarkan satu pengalaman baru buat warga asing dengan kewujudan homestay di kampung kampung terpilih. Turut tersenarai dalam eko pelancongan Raub adalah air terjun semulajadi yang tidak ada di Parlimen Seremban.


Ariff yang mendakwa tidak nampak kesan dari acara yang telah dianjurkan BN selama ini sebenarnya tidak tahu pun kewujudan acara sebelum ini banyak memberi kesan kepada seluruh negara. Acara 'Berbasikal' misalnya dicetuskan dari program 'Bikeathon' di Raub dan fenomena ini kekal di seluruh negara apabila rakyat menyambut baik program sebegitu bagi beriadah bersama keluarga. Apa yang Ariff Sabri tahu? Beliau hanya tahu datang ceramah dan mengahsut rakyat menyatakan kerajaan BN Pahang tidak membela nasib rakyat sedangkan semasa Raub di landa banjir, muka beliau selaku MP Raub pun tidak kelihatan di pusat pemindahan.

Mungkin beliau berpendapat orang Raub boleh diperbodohkan sekali lagi pada PRU14 akan datang dengan bermodalkan isu isu nasional dan tiada satu pun agendanya untuk memajukan Raub. Rakyat Raub merungut apabila pejabat khidmat MP Raub seringkali di tutup dan bukan beliau sahaja sukar ditemui, malah ADUN Tras yang juga ahli DAP turut sukar di temui di Raub. Inikah yang DAP banggakan selama ini? Wakil mereka hanya pandai bercakap tetapi tiada inisiatif langsung untuk memajukan kawasan setempat dan akan menuding salah kepada kerajaan BN sahaja?

Tuesday 1 November 2016

TEROKA HUTAN SIMPAN KEKAL DIHALALKAN JABATAN HUTAN PAHANG?

Beberapa keping foto tersebar dalam satu kumpulan yang dinamakan 'Penduduk Raub' berkaitan penerokaan Hutan Simpan Kekal di Sungai Chalit Raub Pahang.

Dalam komen di laman facebook Penduduk Raub, persoalan timbul mengapa tiada tindakan dilakukan oleh pihak berkuasa mengenai penerokaan Hutan Simpan Kekal yang memang tidak dibenarkan apa apa kegiatan pertanian,pembangunan dilakukan demi menjaga kelestarian hutan tersebut.

Benarkah dakwaan beberapa komen yang menuding kepada Jabatan Hutan Raub yang di dakwa menutup mata mengenai isu tersebut?

Jelas di papan kenyataan Hutan Simpan itu tertulis larangan kepada mana mana individu dari melakukan apa juga aktiviti di tanah tersebut namun beberapa foto menunjukkan perkara sebaliknya.

Adakah ada sesuatu yang disorokkan oleh Jabatan Hutan Raub dari pengetahuan rakyat? Persoalan ini perlu dijawap oleh pihak berkenaan serta menjelaskan perkara sebenar kerana ini adalah berkaitan kawasan tadahan serta zon penampan di mana kewujudan Hutan Simpan Kekal memang diperlukan bagi mengekalkan keseimbangan bumi.

Dimanakah penguatkuasaan apabila Hutan Simpan Kekal diterokai sewenangnya oleh peneroka haram?