Tuesday, 15 November 2016

SAHUT SERUAN TN50 - MAJLIS BELIA MALAYSIA PERKASA ANAK MUDA MELALUI PROGRAM SANTAI






PERPADUAN KAUM JADI KEUTAMAAN MAJLIS BELIA MALAYSIA DALAM PROJEK PERINTIS KEM KEBUDAYAAN,PERPADUAN BELIA 1 MALAYSIA.

Menyedari keperluan semangat perpaduan antara kaum disuburkan dari generasi ke generasi, Majlis Belia Malaysia (MBM) mengambil langkah untuk mengadakan satu program bagi membantu kerajaan menyuburkan kembali semangat perpaduan di kalangan kaum di Malaysia.

Program berbentuk santai yang di rangka melibatkan penyertaan anak muda dari peringkat sekolah menengah dan remaja di rancang diadakan di Kompleks Rakan Muda Raub pada 18,19 dan 20 November 2016. Timbalan Presiden Majlis Belia Malaysia, Eric Choo berusaha membawa program ini ke daerah Raub dengan kerjasama Majlis Belia Daerah Raub (MBDR) buat julung kali sebagai projek perintis penyuburan perpaduan kaum Malaysia. Raub di pilih sebagai lokasi perintis projek ini kerana keunikan kehidupan masyarakat pelbagai kaum yang pernah menduduki antara tempat terbaik dalam Indeks Kebahagiaan Malaysia.

Program berbentuk santai yang dikenalkan dalam program ini akan memastikan pemahaman budaya antara kaum di kongsi bersama. Pertukaran budaya antara kaum dalam program ini di samping permainan yang sudah lama tidak diperkenalkan kepada Gen 'Y' merupakan antara objektif utama program tersebut.

Program ini juga menyahut seruan kerajaan yang mahu perpaduan kaum sentiasa diutamakan bagi menuju era Transformasi 50 yang diperkenalkan Perdana Menteri Malaysia Dato Sri Hj Mohd Najib Tun Abdul Razak yang mahu suara anak muda turut di angkat sebagai sebahagian daripada perancangan memacu Malaysia yang lebih gemilang.