Thursday, 24 November 2016

DUN PAHANG PERLU ANJAKAN PARADIGMA HADAPI PRU14 - KEKALKAN ORANG LAMA ATAU KENALKAN CALON BERPOTENSI MENANG?





DUN PAHANG KEKAL KUBU KUAT BN ATAU BERSEDIA HILANG KERUSI?

Selesa dengan kemenangan dalam PRU13 lepas, Pahang yang menjadi antara kubu kuat Barisan Nasional kini perlu menghadapi realiti politik semasa. Berdepan dengan kewujudan Parti Amanah Nasional (PAN) serta Parti Pribumi Bersatu yang dijangkakan akan meletak calon bagi merebut sejumlah 42 kerusi di DUN Pahang, BN perlu menjangkakan saingan sengit berlaku. Walau isu nasional seperti tidak memberi kesan terhadap kedudukan BN selaku kerajaan negeri, tentangan yang bekal berlaku tidak boleh diperkecilkan.

Walau peratusan sebanyak 88.10% dari 100% di pegang BN, rakyat Pahang sedikit sebanyak terkesan dengan segala 'ceritera' yang dibawakan pembangkang dalam usaha melumpuhkan pengaruh BN di kalangan rakyat Pahang. Keadaan ini diburukkan lagi dengan pelbagai persepsi yang ditaburkan kepada usaha ADUN terhadap rakyat Pahang. Mereka turut memain peranan memberi imej negatif kepada usaha Umno selaku parti dominan dalam kerajaan Pahang.

Keperluan untuk ADUN turun padang bukan sahaja untuk mendengar tetapi meyelesaikan permasalahan rakyat turut menjadi perhatian dan pertimbangan dalam PRU14 kelak. Bagi ADUN yang berkhidmat dengan cemerlang, sekalipun tidak terpilih mewakili kawasan lagi pasti mereka akan meninggalkan legasi yang akan di kenang rakyat mengenai kebaikan hubungan antara rakyat dan wakil rakyat. Ini sekaligus mampu membantu imej positif kepada BN bagi meyakinkan rakyat BN perlu dikekalkan sebagai kerajaan bagi menjamin kesejahteraan Pahang dan memajukan negeri Tok Gajah.

Namun demikian kehadiran parti baru dalam arus politik perdana dan negeri perlu di kekang pengaruhnya dari terus melebarkan sayap di kalangan pengundi. Apakah BN Pahang bersedia menghadapi kemungkinan peralihan pola undian? Bagaimana jika rakyat Pahang mahu beralih selera dan memilih pihak lain sebagai kerajaan negeri? Ada beberapa kriteria yang dipertimbangkan rakyat dalam menterjemahkan suara mereka ke kertas undian dan BN Pahang perlu berwaspada. Seandainya pihak pembangkang berjaya memainkan emosi rakyat dalam isu tempatan kemungkinan berlaku peralihan undian bakal berlaku dan ketika itu sudah terlambat bagi BN dan Umno Pahang untuk menyedari kesilapan yang terjadi. Sikap tidak acuh kepada keluhan rakyat tempatan turut menjadi faktor kemungkinan peralihan kuasa di Pahang. 

Sikap berasa selesa wakil rakyat BN Pahang perlu di kikis dari menjadi 'barah' yang akan menghancurkan kepercayaan rakyat terhadap BN Pahang. Mungkin kerana sudah terlalu lama berada dalam 'zon selesa' maka sesetengah wakil rakyat tidak berasa gusar akan pertentangan yang bakal dihadapi kelak. Tidak menafikan usaha wakil rakyat kepada pengundi tempatan, seharusnya ADUN perlu mencontohi cara Perdana Menteri yang mengurangkan protokol setiap kali bertemu rakyat bagi mendengar keluhan mereka. Perlu diingatkan juga kepada ADUN tanpa rakyat dan sokongan mereka tidak akan menikmati kedudukan sekarang. 

Perbandingan cara layanan antara pembangkang dan BN dalam melayani pengundi juga memainkan peranan besar dalam mempengaruhi pengundi. Adakah wakil BN akan terus berada dalam 'zon protokol' untuk bertemu rakyat atau berubah dengan mengurangkan birokrasi apabila bersama sama pengundi? Jika perubahan dilakukan mungkin 9.53% pengundi pembangkang mampu dikecilkan sekaligus menolak kehadiran mereka di Pahang selain kerja keras oleh wakil rakyat yang tidak sekadar 'melepas batuk di tangga'.

Sebagai rekod Umno Pahang memegang 69.05% daripada 88.10% kerusi DUN Pahang, manakala MCA 14.29%, MIC 2.38%, Gerakan 2.38% dalam DUN Pahang. Peratusan ini boleh meningkat atau menurun berdasarkan prestasi wakil rakyat serta cara mereka menangani isu setempat dan sikap ADUN terhadap pengundi. Pembangkang yang hanya memegang sebanyak 9.52% kerusi DUN pula akan mengalami pecahan lebih besar dengan kenyataan Pakatan Harapan yang mahu parti yang bersekutu dalam PH bertanding 1 lawan 1 di setiap kerusi DUN. Pecahan bagi Pakatan Harapan di kerusi DUN Pahang ialah DAP 4.76% dan PAS 4.76%. Jelas sekali menunjukkan PKR tidak berupaya mempengaruhi pengundi Pahang namun demikian situasi ini mungkin berubah dengan kehadiran PAN dan PPBM pada PRU14 akan datang.

Apa yang boleh dilakukan Umno dan BN Pahang kini adalah memenangi kembali keyakinan rakyat Pahang bagi terus meberi mandat kepada BN untuk mentadbir Pahang, cuma cara bagaimana dan yang perlu BN implementasikan bergantung kepada kekuatan BN itu sendiri. Selaku pengundi BN dalam PRU13, penulis berharap BN kekal dalam Pahang sebagai kerajaan negeri dan menjadi harapan agar penambahbaikan dapat dilakukan oleh wakil rakyat yang bakal di pilih kelak. 

"JANGAN ULANG SILAP ORANG LAMA" 

No comments:

Post a Comment