Showing posts with label Wan Rosdy. Show all posts
Showing posts with label Wan Rosdy. Show all posts

Sunday, 8 September 2019

Perasmian Pecah Tanah Perumahan Makmur Tanjung Gahai

Pelancaran Perumahan Makmur Tg Gahai 



YAB Menteri Besar Pahang, Dato Sri Wan Rosdy Wan Ismail merasmikan Majlis Pecah Tanah Perumahan Makmur Tanjung Gahai di Dun Jelai.


Sebanyak 90 unit rumah mampu milik ditawarkan kepada mereka yang layak. Projek Kerajaan Negeri yang bertujuan membolehkan rakyat Pahang memiliki rumah sendiri adalah kerjasama Kerajaan Negeri dengan sebuah syarikat swasta.



Gimik pelancaran Oleh MB Pahang.

Thursday, 16 May 2019

WAN ROSDY DARI KACAMATA PENGUNDI JELAI, ANTARA MENTERI BESAR TERBAIK

Dari Bernas Ke Menteri Besar Pahang, Bukan Calang Cabaran Dihadapi

Gred A Buat Wan Rosd

Siapa kenal Wan Rosdy Wan Ismail sebelum mencebur diri dalam politik tenpatan? Beliau hanya dikenali sebagai anak Penghulu dan pengurus syarikat Bernas.


Saat serius mahu menabur khidmat kepada masyarakat, beliau dinamakan sebagai calon Dun Jelai. Gemilang dengan keputusan yang menyebelahinya bermulalah era Wan Rosdy sebagai Yang Berhormat. Beliau juga dipilih perwakilan sebagai Ketua Bahagian Umno Cameron Highlands menggantikan Dato Omar Othman sekaligus mencerminkan keyakinan pengundi Jelai dan Umno Cameron Highlands terhadap kemampuan Wan Rosdy membawa suara pengundi Jelai ke Dewan Undangan Negeri.

Pelbagai rintangan dihadapi sepanjang khidmatnya namun setenang riak wajah Wan Rosdy terus menabur bakti kepada masyarakat tempatan tanpa membezakan pegangan politik. Permulaan Wan Rosdy sebagai Menteri Besar Pahang bukanlah indah kerana ketika itu Barisan Nasional kalah Pilihanraya Umum manakala Pahang dan Perlis sahaja yang kekal dibawah BN. Diperlekehkan pihak lawan yang menyatakan Pahang akan kehabisan wang dalam tempoh 3 bulan telah ditangkis Wan Rosdy dengan peningkatan pendapatan kerajaan negeri. Beliau mengorak langkah bijak apabila terus membuat program turun padang dari Daerah ke Daerah sambil meneliti permasalahan yang terjadi terhadap rakyat Pahang dan cuba menyelesaikan secepat mungkin. Beliau turut membuka laman sesawang aduan rakyat khusus untuk rakyat Pahang berinteraksi dan mengadu masalah. Sikap terbuka dan mudah didekati Dato Sri Wan Rosdy menjadikan beliau Menteri Besar yang disegani.

Setahun beliau meneraju Pahang, terbukti kemampuan Wan Rosdy amat luarbiasa. Mengemudi PRK CH antara kejayaan manis dalam tempoh setahun jagung pemerintannya. Hubungan baik antara Wan Rosdy dan Istana Pahang juga memberi isyarat jelas beliau disenangi Sultan Pahang bagi mentadbir Pahang Darul Makmur.

Bagi penulis walau pernah mengkritik dan bberbeza pandangan cara Ds Wan Rosdy namun ia berbaloi apabila kini beliau menjadi kesayangan rakyat Pahang keseluruhannya. Semoga Ds Wan Rosdy maju jaya dan terus menerajui Pahang menuju kemenangan PRU15. 

Thursday, 1 November 2018

USAH CEPAT BUAT PERSEPSI TERHADAP KERAJAAN PAHANG - MENTERI BESAR MAHU RAKYAT DAPAT MAKLUMAT JELAS

Kerajaan Negeri Tidak Belanja Wang Tanpa Tujuan - Kepentingan Rakyat Pahang Diutamakan

Menangani persepsi terhadap Kerajaan Negeri Pahang bukan sesuatu yang mudah tetapi rakyat perlu lebih jelas hala tuju kerajaan untuk kepentingan rakyat Pahang. Menteri Besar Pahang, Dato Sri Wan Rosdy Wan Ismail menyatakan demikian semasa Majlis Penutup Operasi Bersepadu Penguatkuasaan Aktiviti Lombong Pahang Barat ( OPS LOMBONG 3.0).

Beliau menjelaskan ada pertikaian mengenai pencerobohan hutan dan lombong yang kononnya dikatakan tidak diendahkan kerajaan Pahang. Wan Rosdy menjelaskan setiap tindakan yang dilakukan agensi bersama kerajaan Pahang perlu mengambil kira pelbagai faktor terutama intipan serta tangkapan mereka yang melanggar undang undang sediada. Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada petugas petugas yang menjalankan OPS LOMBONG 3.0 yang melaksanakan tugas selama 4 hari membabitkan lokasi yang berlainan.

10 kes membabitkan pelbagai kesalahan Undang Undang telah berjaya ditangani Agensi yang terdiri daripada Jabatan Perhutanan, Pejabat Tanah Dan Galiian, Jabatan Mineral Dan Geosains, Jabatan Imigresen dan Jabatan Alam Sekitar. 8 notis kompaun berjumlah RM24,000.00 telah dikeluarkan dalam OPS kali ini.

Monday, 1 January 2018

VIRAL VIDEO ANAK LALU JAMBATAN ROSAK - CARI GLAMOUR BAHAYAKAN NYAWA

CARI GLAMOUR BAHAYAKAN NYAWA ANAK - BIJAKKAH IBU BAPA TERSEBUT?

Tular satu video yang menunjukkan seorang bapa sedang menuntun anaknya melalui sebatang jambatan yang rosak. Dalam klip tersebut jelas menunjukkan hanya seorang bapa dan anaknya melalui jambatan tersebut dengan air sungai deras di bawah jambatan itu.

Difahamkan surat tawaran membaiki jambatan sudah dikeluarkan dan kerja akan dimulakan pada 8 Januari 2018.

Dalam klip tersebut, perakam tidak menjelaskan mengapa beliau dan suami mengambil risiko membahayakan nyawa anaknya. Adakah beliau memang mahu mencari viraliti hanya untuk memburukkan kerajaan sedangkan hakikat jalan alternatif sudah disediakan kerajaan  dan difahamkan jalan tersebut kini ditenggelami air berikutan cuaca buruk.

Cara beliau dan suami yang membahayakan nyawa demi viraliti dan glamour ini sebenarnya mengundang persepsi buruk terhadap kerajaan dan pembangkang memang mahu menjadikan ia sebagai isu kelemahan kerajaan Pahang.

Jadi fikirkan dengan akal sebelum menempelak kerajaan.

Wednesday, 29 November 2017

RUMAH GENERASI FELDA - MOGA ADA SINAR

MASIH ADAKAH SINAR DI HUJUNG TEROWONG?

Berikutan rungutan mengenai Perumahan Generasi Baru Felda (PGBF) satu tinjauan dilakukan di Felda Sungai Koyan bagi mengesahkan dakwaan bahawa perumahan tersebut masih belum diduduki dan kini telah menjadi kawasan 'tinggalan'.

Benar bagai di kata, keadaan rumah tersebut amat memyedihkan dengan pelbagai kerosakan serta semak samun yang melingkari rumah. Perumahan di Sg Koyan ini bermula dengan acara pecah tanah semasa PRU13 yang lalu di mana Adun Jelai, Dato Sri Wan Rosdy Wan Ismail telah merasmikannya dengan disaksikan peneroka, penerokawati dan sebahagian daripada generasi kedua Felda tersebut. Segala perancangan dan pembinaan rumah berjalan lancar di mana pada tahun 2016 fizikal rumah rumah tersebut telah sempurna. Pada tahun 2017, surat tunjuk minat telah diserahkan kepada bakal pembeli dalam satu majlis yang dihadiri Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Samad. Mereka dijanjikan semua urusan pinjaman bank akan diuruskan selewatnya Ogos 2017 namun hingga hari ini masih belum ada khabar mengenai hal tersebut.

Pembayaran sebanyak RM300 yang dibuat oleh bakal pembeli sebagai 'tanda minat' seperti tidak menjanjikan apa apa kepada mereka dan ini telah mengundang pelbagai persepsi negatif terhadap Felda dan Kerajaan. Namun demikian sifat sabar generasi tercabar juga apabila hal berkaitan perumahan ini seolah tidak menjadi keutamaan untuk diselesaikan Felda.

Generasi kedua ini masih menaruh harapan kepada Felda dan kerajaan agar isu ini diselesaikan dengan baik kerana bagi mereka Felda merupakan satu Institusi yang telah banyak berjasa kepada mereka dan keluarga selama ini. Malah jasa Tun Razak yang memberi peluang kepada Generasi pertama Felda masih menjadi ingatan mereka untuk tidak 'Menjahanamkan' Institusi Felda itu sendiri.

Apa yang dikhuatiri isu ini akan dimainkan oleh pihak tertentu bagi meraih sokongan menjelang PRU14 dengan pelbagai karut marut. Sebagai langkah awal, Felda sendiri perlu bertindak segera untuk 'Turun Padang' menjelaskan isu ini beserta penyelesaian dan bukan hanya memberi 'Teori' kepada Generasi Kedua. Usah mahu mengecilkan mereka kerana kini bukan lagi zaman 'Selak Akhbar' tetapi era maklumat di hujung jari membuatkan banyak hasutan amat mudah di terima mereka.

Satu klip video menunjukkan keadaan sebenar PGBF SG KOYAN.

Klik video : https://youtu.be/-8-vQnVRRSE


Monday, 3 April 2017

SURAT TERBUKA KEPADA ADUN JELAI

SURAT TERBUKA KEPADA ADUN JELAI

Dato Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Selaku seorang yang sayangkan parti Umno, saya tidak mahu melihat kekalahan melanda parti hanya kerana ketidakpuasan akar umbi terhadap kepimpinan Umno Bahagian Cameron Highlands.

Apabila saya balik ke kawasan yang selama ini saya berkhidmat sepanjang 4 pru, saya dapati angin perubahan sokongan terhadap Umno CH semakin terhakis apabila timbul isi isu yang agak terpencil tetapi meninggalkan impak besar yang saya rasakan akan menggugat kedudukan Umno sendiri di Dun Jelai.

Saya tidak gusar dengan sokongan yang terhakis di saluran 4,5,6 tetapi saya teramat sukar menerima apabila pengundi dari salur 1,2 mengeluh mengenai beberapa hal dan ada antara mereka menyatakan tidak akan memberi sokongan lagi kepada Umno CH di masa akan datang. Apabila saya bertanya mengapa mengejutkan sekali jawapan yang diberikan jelas merujuk kepada Dato Seri selaku Ketua Bahagian merangkap ADUN Jelai. Keluhan mereka sukar nampak Dato turun ke Sg Koyan 2 dan adakala mereka terasa dipinggirkan oleh Dato amat mengejutkan saya. Mungkin nampak kecil tetapi impaknya apabila saya cuba buat kiraan matematik peringkat 'tadika' menggegar hati saya. Saya letak sebuah rumah ada 5 orang pengundi berpotensi memberi undi kepada Umno/BN didarabkan dengan 240 rumah maka jumlahnya agak besar jika mereka memilih untuk turut mempengaruhi anak anak merek supaya tidak memberi undi kepada BN/Umno.

Belum lagi keluhan kalangan ketua keluarga yang anak mereka tidak mendapat rumah di bawah PGBF yang di pohon serta keluhan anak muda yang tidak berpuashati dengan pengagihan rumah tersebut walaupun hakikatnya mereka sendiri yang mencabut undi. Tidak ketinggalan isu rumah yang kurang sempurna yang diberikan kepada mereka serta kegagalan Umno CH mengikuti arus anak muda yang mahukan perubahan selari dengan seruan Presiden Umno yang mahu parti diremajakan dengan perubahan perubahan membuka ruang kepada anak muda untuk bergiat lebih jauh dalam politik setempat.

Satu perkara yang mengejutkan saya apabila ada khabar bertiup 'Wahyu' sudah disampaikan kepada setiap cawangan Umno dalam Bahagian Cameron untuk mengusulkan agar menolak individu tertentu dari menjadi calon Parlimen Cameron Highlands. Benarkah perkara ini diarahkan oleh Bahagian? Siapa yang mengarahkannya?

Pada pandangan saya 'Titah Perintah' sebegini sudah agak ketinggalan serta menampakkan Umno CH akan menentang keputusan Presiden parti seandainya individu yang mereka arahkan untuk di tolak oleh semua cawangan di pilih Presiden sebagai calon selepas semua kriteria di ambil kira. Adakah benar dakwaan sudah ada arahan tertentu dikeluarkan kepada cawangan cawangan di Bahagian Cameron?

Saya melihat semua perjalanan politik sejak dari Sg Koyan bernaung di bawah Parlimen Lipis hinggalah Ahli Parlimen Cameron mencapai penggal ke - 3. Saya berharap dan saya mahukan kerusi BN dipertahankan demi menjamin kestabilan politik negara tetapi perkara perkara kecil memberi implikasi terhadap sokongan rakyat kepada Umno dan BN.

Saya tidak mempunyai kepentingan kepada mana mana pihak dan saya menegur demi menjamin kemenangan BN sekaligus membantu PM Najib mengekalkan kedudukan BN selaku pemerintah dan terus melaksanakan perancangan untuk Rakyat dan Negara. Itu lebih penting bagi saya selaku pengundi setia BN.

Yusman Zahari Zakaria
No Keahlian Umno 03644769
Sg Koyan 2

Sunday, 14 August 2016

Pemuda Perlu Jadi Barisan Hadapan Pertahankan Institusi Umno Dan Presiden Dari Serangan Pembangkang - Ketua Bahagian Cameron Highlands






'ARMADA 14' PERGERAKAN PEMUDA CAMERON HIGHLANDS AKAN TERUS PERTAHAN INSTITUSI UNMO DAN PRESIDEN

Suara akar umbi ahli Umno tidak pernah diketepikan saban tahun bagi mencari kaedah yang terbaik untuk berkhidmat dengan cemerlang kepada rakyat. Secara tradisi lazim, semua persidangan dimulakan dengan mesyuarat cawangan dan kemudiannya dibawa ke Bahagian. Setiap sayap Umno yang SETIA kepada kepimpinan akan mengadakan Persidangan ini apabila mendapat tarikh yang sesuai dari Umno Pusat.

Pemuda Umno yang menjadi sayap hadapan untuk Umno akan bersidang setiap kali menerima arahan berbuat demikian. Bagi Pemuda Umno Bahagian Cameron Highlands, tarikh 14 Ogos 2016 telah di pilih untuk mengadakan Persidangan Pemuda Umno Bahagian Cameron Highlands.

Dirasmikan oleh Ketua Umno Bahagian Cameron Highlands Dato Sri Hj Wan Rosdy Wan Ismail, persidangan dimulakan dengan doa agar segalanya berjalan lancar. Ucapan aluan daripada Ketua Pemuda Bahagian, beliau mengingatkan perwakilan agar terus memberi sokongan kepada Presiden Umno Dato Sri Hj Mohd Najib Tun Abdul Razak untuk mengemudi Umno menghadapi PRU14. Dengan pelbagai cabaran, Pemuda Cameron yakin kepada kemampuan Najib untuk memenangi hati rakyat dalam pertarungan yang dianggap sebagai ‘PALING SENGIT’.

Menyampaikan segala program yang telah dilakukan Pemuda Cameron selama hampir setahun, KP Cameron mengingatkan kepada perwakilan agar tidak mempersoalkan siapa wakil yang akan diletakkan sebagai calon dalam PRU akan datang, beliau mahu seluruh tenaga Pemuda menumpukan usaha untuk memenangi hati pengundi. Dengan slogan ‘Armada 14’ yang menampilkan semangat Pemuda Umno, KP Cameron turut menyatakan ‘Armada 14’ adalah aspirasi kesiapsiagaan Pemuda untuk menghadapi segala ancaman dari pihak yang mahu menjatuhkan Umno dan Barisan Nasional
.
Dato Sri Wan Rosdy dalam ucapan perasmiannya mengingatkan perwakilan untuk terus beristiqomah dalam perjuangan Umno dan semangat Umno perlu terus subur dalam jiwa Pemuda untuk terus menjadi sayap hadapan Umno menghadapi pembangkang.

“Syabas dan tahniah kepada perwakilan yang berjaya membuktikan jiwa Umno terus subur dalam jiwa Pemuda, terimakasih juga kepada KP serta ahli jawatankuasa Pemuda yang sudi menjemput saya merasmikan persidangan Pemuda”- Wan Rosdy.

Bagi Wan Rosdy, tumpuan beliau kali ini untuk menghadapi PRU14 ialah isu setempat yang perlu diselesaikan. Turut mengimbau kejayaan BN dalam PRU13 dengan majoriti yang meningkat, beliau mahu peningkatan sokongan terhadap calon ditumpukan di peringakta DUN dan Parlimen.
Penurunan sokongan kepada wakil Parlimen di PRU13 lepas dianggap sebagai sesuatu yang serius dan Wan Rosdy mengingatkan bahawa kemenangan yang di perolehi oleh wakil Parlimen dari MIC datangnya dari sokongan kuat Umno Bahagian Cameron Highlands dan inilah semangat setiakawan Umno terhadap komponen BN.

Semangat inilah yang sentiasa diamalkan oleh Umno Cameron Highlands demi kemenangan BN agar Parlimen Cameron tidak terlepas kepada pembangkang dalam PRU14 dan ini sesuatu yang perlu di hormati oleh wakil komponen yang akan bertanding kelak. Perjuangan yang masih jauh juga menjadi satu ingatan kepada seluruh perwakilan agar menginsafi mengenai perjuangan Umno dalam membela Bangsa,Agama dan Negara.

Ketua Umno Bahagian Cameron Highlands turut menegur segelintir dari perwakilan yang memegang jawatan dalam Umno agar terus komited untuk menjayakan agenda Umno dan bukan hanya mengejar jawatan dalam parti.

“Terus menyokong kepimpinan Umno dan bukannya menjatuhkan Umno bila kecewa apabila kalah dalam pemilihan,raikan perbezaan pandangan tanpa menjejaskan parti kerana perjuangan dalam parti bukan untuk diri sendiri tetapi untuk Bangsa,Agama dan Negara”-Wan Rosdy

Sidang perwakilan Pemuda Umno Cameron Highlands yang bermula selepas perasmian mencapai beberapa kesepakatan dalam meneruskan agenda memperkasakan Umno dalam menghadapi PRU14 selari dengan aspirasi ‘Armada 14’ yang diilhamkan untuk Pemuda Umno Pahang.

Antara usul Pemuda Cameron Highlands yang dikemukakan dalam persidangan kali ini

-tegas menolak calon ‘kitar semula’ dari mewakili Parlimen Cameron Highlands atas sebab pernah mengeluarkan kenyataan orang Melayu dan Bumiputera boleh dibeli dengan wang ringgit. Kenyataan bekas ahli Parlimen ini dilihat sebagai tidak menghormati Hak Ketuanan Melayu seperti termaktub dalam Perlembagaan Negara kerana menghina kaum Melayu serta Bumiputera.

Ahmad Fansuri dari cawangan Sungai Jelapin mengajak perwakilan mengimbau kembali sejarah Umno sejak penubuhan parti keramat Melayu serta perjuangan untuk Melayu. Menyentuh mengenai organisasi dan pemimpin, beliau mengingatakan kepada perwakilan sepanjang usai PRU13, hampir tiada program Pemuda Umno Cameron dijalankan oleh Ketua Pemuda Cameron Highlands.

 Walau KP Cameron pernah ‘bergurau’ kepada perwakilan supaya ‘membaling’ kerusi kearahnya jika tiada perubahan dilakukannya, Fansuri mengingatkan sebagai sayap yang bertunjangkan ciri Melayu, tidak akan berbuat demikian kerana menghormati kedudukan KP serta menjaga santun Pemuda Umno.
Cadangan dari wakil Sg Jelapin itu turut mahu Pemuda serta Umno Bahagian Cameron sendiri menghargai jasa orang lama dalam perjuangan tidak dilupakan dan sentiasa mendampingi golongan veteran kerana banyak pengalaman yang boleh di timba daripada mereka.

 Fansuri turut menyatakan kekesalan apabila sebuah syarikat perlombongan emas yang beroperasi di Sg Koyan telah membuang pekerja tempatan yang merupakan anak tempatan dan mengambil pekerja asing sebagai ganti. Beliau mahu Pemuda Umno selaku pejuang Melayu serta rakyat memandang serius perkara tersebut.

Mohamad Haidir dari Cawangan Sg Koyan 1 pula bertanya mengenai setiap permasalahan yang dikemukakan kepada Pemuda serta Umno Bahagian yang seperti tidak dipedulikan oleh pucuk pimpinan Bahagian Cameron Highlands. Turut meminta penjelasan mengenai penolakan calon ‘kitar semula’ yang dibangkitkan dalam usul Pergerakan Pemuda Umno Cameron Highlands.

 Beliau turut meminta penjelasan lebih lanjut untuk keseluruhan Pemuda memahami mengapa usul tersebut dicadangkan. Ini adalah kerana calon yang telah menggantikan Dato Sri G Palanivel perlu menunjukkan prestasi yang lebih baik dari bekas ahli Parlimen sebelumnya dan memeberi keyakinan kepada pengundi untuk terus memberikan sokongan kepada BN.


Namun demikian perlu juga diingatkan proses memilih calon yang berwibawa untuk mewakili BN ke Parlimen Cameron Highlands merupakan satu keputusan yang berisiko kepada kerusi BN di Pahang. Komponen perlu mengemukakan seorang calon yang mampu mengembalikan kepercayaan rakyat kepada BN setelah pelbagai isu melanda dan mengocak keyakinan pengundi. Pelbagai sudut politik serta pandangan rakyat perlu diambil kira sebelum apa apa keputusan dilakukan dan ini bagi menjamin kemenangan BN dapat dikekalkan. Pemuda Cameron Highlands menyatakan keyakinan dengan kekuatan Umno dan BN untuk memenangi PRU14 akan terus menyokong kepimpinan serta Presiden Umno.

Thursday, 19 May 2016

Video Masjid Al Muhajirin Yang Telah Siap Pembinaannya - Terimakasih Adun Jelai



Kariah Masjid Felda Sungai Koyan kini akan dapat menunaikan Solat Terawih dan Solat Sunat AidilFitri di Masjid yang baru siap pembinaannya selepas hampir 3 tahun menunggu. Solat Jumaat yang pertama di Masjid Al Muhajirin akan dilakukan pada 27 Mei 2016 selepas pihak Jabatan Agama Islam Daerah Lipis memberi kebenaran berbuat demikian.

Pembinaan Masjid ini yang tertangguh hingga 3 tahun bukanlah kegagalan kerajaan negeri atau pun kelemahan ADUN Jelai seperti yang digembar gemburkan. Siasatan penulis mendapati pihak kontraktor yang dilantik tidak menjalankan amanah yang telah diberikan kepada mereka hingga menyebabkan kelewatan pembinaan.

Sudah tentu dengan siapnya Masjid Sg Koyan ini tepat pada masanya melegakan banyak pihak terutama mereka yang telah dikambing hitamkan oleh sesetengah pihak yang tidak mengetahui perkara sebenar.

Cabaran besar untuk menyiapkan Masjid ini telah berjaya diharungi dengan penuh kesabaran penduduk Sg Koyan dan kini pastinya kariah tidak sabar untuk menggunakannya bagi menyebarkan dan menyuburkan lagi Syiar Islam di Sg Koyan khususnya dan Dun Jelai amnya.

Individu yang paling gembira dengan siapnya Masjid Sg Koyan ini tentunya ADUN Jelai, Dato Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang sentiasa komited memberikan khidmat yang terbaik kepada pengundi di kawasannya. Beliau yang kini boleh menarik nafas lega dengan selesainya pembinaan Masjid Sg Koyan ini sudah tentu akan terus menabur khidmat bagi komuniti Jelai dengan pelbagai usaha untuk kemajuan setempat.

Berkhidmat sebagai ADUN selama hampir 3 penggal sebenarnya cukup memberi Wan Rosdy pengalaman yang menarik. Beliau yang pernah penulis kritik menunjukkan kesungguhan bagi membuktikan komitmennya kepada penduduk Jelai dan ini diterjemahkan dengan program mendekati masyarakat dan pelbagai bantuan yang disalurkan tanpa ada sempadan politik.

Apa yang penulis banggakan, kini Wan Rosdy yang lebih mesra penulis sapa sebagai "Abang" berjaya membuktikan beliau merupakan 'PERMATA Jelai' yang tidak ternilai. 

Terimakasih Kerajaan Barisan Nasional dan Umno yang sentiasa mendahulukan keperluan rakyat dan menjamin keselesaan beribadat Umat Islam. Bukan mudah bagi BN memuaskan hati semua rakyat namun ini hanya sebahagian dari transformasi yang dilakukan di bawah pentadbiran Perdana Menteri Malaysia Dato Sri Hj Mohd Najib Tun Abdul Razak.


Tuesday, 17 May 2016

Warisan Berharga Untuk Generasi Akan Datang - Sultan Pahang





Penerokaan hutan serta khazanah negara oleh pihak tidak bertanggungjawab menarik minat Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah dalam titah baginda merasmikan Sidang Dewan Undangan Negeri Pahang penggal ke-4 kali ke-13 di Wisma Seri Pahang.

"Pemuliharaan alam perlu kerana negeri dan isi kandungannya akan diwarisi generasi akan datang. Kita wajib meninggalkan satu warisan yang berterusan dan berkekalan kepada mereka"

Baginda yang turut meminta kerajaan negeri mempercepatkan langkah mewartakan tanah rizab Orang Asli di Pahang selain membantu meningkatkan lagi ekonomi kaum pribumi tersebut.

"Orang Asli tidak lagi boleh mengamalkan kehidupan seperti dahulu,mereka mesti menyesuaikan diri dengan peredaran masa. Kerajaan Beta tidak mengabaikan kepentingan Orang Asli"

Baginda turut menyampaikan rasa puashati atas usaha kerajaan Pahang yang merancang membina kira kira 33,000 unit rumah berharga RM150,000.00 sejak 2013 hingga kini. 

"Beta juga gembira kerajaan negeri mengambil inisiatif melaksanakan program perumahan berharga RM80,000.00 seunit untuk dimiliki rakyat dan sejak Mac lepas sehingga kini sebanyak 1,000 unit rumah telah berjaya dibina"

Berkaitan teguran Sultan Ahmad Shah mengenai kerakusan pihak pemaju yang terus menerus meneroka hutan tanpa mengambilkira faktor muka bumi, seharusnya kerajaan negeri melaksanakan satu undang undang yang mewajibkan setiap syarikat yang berminat memajukan sesuatu kawasan mematuhi syarat ketat pihak EIA.


Penerokaan di Gunung Dulang yang dipercayai antara punca Sungai Tembeling menajdi cetek perlu dipandang serius pihak kerajaan negeri. Sumber air sepatutnya dipelihara dengan baik untuk kelangsungan rakyat Pahang dan ini merupakan ancaman terhadap geologi muka bumi serta hidupan liar di hutan berkenaan.

Kerajaan juga perlu memandang serius penerokaan balak secara haram yang berleluasa dalam negeri Pahang demi menjaga kestabilan ekosistem hutan hujan tropika Pahang yang terkenal sebagai tadahan hujan dan keindahan flora fauna sejak sekian lama. 

Saranan Sultan Ahmad Shah agar kerajaan negeri memelihara kepentingan warisan hutan perlu diterapkan kepada seluruh rakyat agar terus mempertahankan tinggalan berharga untyk generasi akan datang.

Sunday, 17 April 2016

'Kakak Sado' Bikin Gamat Karnival Sukan Umno Cameron Highlands - Wan Rosdy Berjaya Kembalikan Kepercayaan Rakyat





Sukan merupakan satu fenomena yang sinonim dengan penyatuan rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang kaum mahu pun agama. Apa sahaja sukan mampu membawa perasaan muhibbah yang sukar ditemui di negara lain selain Malaysia. Menggunakan pendekatan penyatuan Umno Bahagian Cameron Highlands telah mengadakan Karnival Sukan Umno Bahagian Cameron Highlands pada 17 April 2016 bertempat di Felda Sungai Koyan.

Karnival ini menjadi medan beramah mesra bukan sahaja di kalangan ahli Umno tetapi turut menarik minat mereka yang bukan ahli Umno. Tiada perbezaan yang untuk rakyat dalam Bahagian Cameron Highlands bagi bersama sama mengambil peluang menyertai Karnival tersebut.

Ketua Umno Bahagian Cameron Highlands, Dato Sri Wan Rosdy Wan Ismail merangkap Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang dan juga ADUN Jelai telah bersama meraikan kegembiraan ahli Umno dalam karnival ini.

Beliau yang amat gembira dengan penyertaan yang lebih baik dari kalangan Orang Asli memberi pujian atas dasar semangat kesukanan yang telah ditunjukkan oleh semua ahli Umno yang menyertai karnival sukan itu. Malah, beliau difahamkan oleh Setiausaha Umno Bahagian Zailaluddin Zainol ada ahli PAS yang teruja dengan karnival berkenaan dan mengambil keputusan menyertai Umno Cameron Highlands sebagai tanda berterima kasih atas keprihatinan ADUN Jelai yang telah berjaya menambat hati pengundinya.

Paling menarik perhatian Wan Rosdy, pertarungan Tarik Tali Wanita yang telah lama tidak diketengahkan telah berjaya direaslisasikan kemunculannya dalam Karnival Sukan Umno Cameron Highlands.

Dengan menggunakan gelaran 'Kakak Sado' kumpulan yang disertai dari campuran Puteri Umno CH dan Wanita CH berjaya menggamatkan keadaan. Kaum Orang Asli juga enggan mengalah untuk turut sama menonjolkan bakat mereka telah menyahut cabaran dalam sukan Tarik Tali. 

Penyertaan dari kaum Orang Asli sebenarnya menunjukkan sokongan mereka telah kembali kepada Umno dan Barisan Nasional kerana dasar yang diperkenalkan Perdana Menteri Dato Sri Hj Mohd Najib Tun Abdul Razak berjaya diterjemahkan dengan pembangunan yang di bawa kepada mereka. Ternyata bagi mereka PM dan Adun Jelai tahu menghargai sokongan dari kaum Orang Asli kepada BN dan Umno.

Secara keseluruhan karnival yang dianjurkan Umno Cameron Highlands berjaya menepati konsep penyatuan rakyat dan pasti karnival seperti ini akan dinantikan kemunculannya lagi.