Kariah Masjid Felda Sungai Koyan kini akan dapat menunaikan Solat Terawih dan Solat Sunat AidilFitri di Masjid yang baru siap pembinaannya selepas hampir 3 tahun menunggu. Solat Jumaat yang pertama di Masjid Al Muhajirin akan dilakukan pada 27 Mei 2016 selepas pihak Jabatan Agama Islam Daerah Lipis memberi kebenaran berbuat demikian.
Pembinaan Masjid ini yang tertangguh hingga 3 tahun bukanlah kegagalan kerajaan negeri atau pun kelemahan ADUN Jelai seperti yang digembar gemburkan. Siasatan penulis mendapati pihak kontraktor yang dilantik tidak menjalankan amanah yang telah diberikan kepada mereka hingga menyebabkan kelewatan pembinaan.
Sudah tentu dengan siapnya Masjid Sg Koyan ini tepat pada masanya melegakan banyak pihak terutama mereka yang telah dikambing hitamkan oleh sesetengah pihak yang tidak mengetahui perkara sebenar.
Cabaran besar untuk menyiapkan Masjid ini telah berjaya diharungi dengan penuh kesabaran penduduk Sg Koyan dan kini pastinya kariah tidak sabar untuk menggunakannya bagi menyebarkan dan menyuburkan lagi Syiar Islam di Sg Koyan khususnya dan Dun Jelai amnya.
Individu yang paling gembira dengan siapnya Masjid Sg Koyan ini tentunya ADUN Jelai, Dato Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang sentiasa komited memberikan khidmat yang terbaik kepada pengundi di kawasannya. Beliau yang kini boleh menarik nafas lega dengan selesainya pembinaan Masjid Sg Koyan ini sudah tentu akan terus menabur khidmat bagi komuniti Jelai dengan pelbagai usaha untuk kemajuan setempat.
Berkhidmat sebagai ADUN selama hampir 3 penggal sebenarnya cukup memberi Wan Rosdy pengalaman yang menarik. Beliau yang pernah penulis kritik menunjukkan kesungguhan bagi membuktikan komitmennya kepada penduduk Jelai dan ini diterjemahkan dengan program mendekati masyarakat dan pelbagai bantuan yang disalurkan tanpa ada sempadan politik.
Apa yang penulis banggakan, kini Wan Rosdy yang lebih mesra penulis sapa sebagai "Abang" berjaya membuktikan beliau merupakan 'PERMATA Jelai' yang tidak ternilai.
Terimakasih Kerajaan Barisan Nasional dan Umno yang sentiasa mendahulukan keperluan rakyat dan menjamin keselesaan beribadat Umat Islam. Bukan mudah bagi BN memuaskan hati semua rakyat namun ini hanya sebahagian dari transformasi yang dilakukan di bawah pentadbiran Perdana Menteri Malaysia Dato Sri Hj Mohd Najib Tun Abdul Razak.
No comments:
Post a Comment