Tuesday, 3 May 2016

Kisah Ngeri Di Cameron Highlands - Bersediakah Pahang Untuk Tahun Melawat Pahang 2017?




Tahun 2017 diisytiharkan sebagai Tahun Melawat Pahang oleh Menteri Besar Pahang di satu majlis di Kuantan. Pahang secara fizikalnya telah bersedia menerima kunjungan pelancong domestik dan juga dari luar dan menjadi salah satu negeri yang berada dalam radar pengembara dari serata dunia untuk di lawati.

Kerja keras Exco Pelancongan Pahang, Dato Sri Mohd Sharkar Shamsuddin mempromosi negeri Tok Gajah ini sesuatu yang perlu di puji. Namun begitu terdapat kes kes terpencil yang akan mencacatkan TMP 2017 jika tidak diperbaiki secara agresif dan sistematik.

Sektor makanan unik dalam Pahang memainkan peranan yang agak berkesan bagi menarik pelancong kembali mengunjungi tempat pelancongan. Namun demikian ada pengusaha makanan yang mengabaikan kebersihan persekitaran premis mereka dan hanya memikirkan keuntungan sahaja.

Pengusaha restoran dan peniaga kecil memainkan peranan dalam sektor pelancongan kerana boleh di anggap sebagai 'Duta Kecil' Pahang dalam menggamit kehadiran pelancong. Pengalaman penulis menikmati makanan di sebuah restoran yang agak terkenal di tanah tinggi Cameron Highlands baru baru ini membuatkan penulis berfikir samada pengusaha sektor pemakanan telah bersedia untuk menerima tetamu atau sekadar berniaga untuk mencari keuntungan berganda.

Umum mengetahui Cameron Highlands antara kawasan yang kerap dikunjungi pelancong domestik serta luar dan kehadiran mereka membawa rezeki kepada peniaga di Cameron Highlands. Namun demikian sikap pengusaha makanan dan restoran yang menyediakan makanan mengecewakan dan meninggalkan kesan kepada penulis.

Makanan yang di hantar tidak memenuhi permintaan dan rasa yang di hidangkan juga sangat mengecewakan. Penulis sempat berbual dengan 3 orang pelancong dari Jerman dan bertanya kepada mereka mengenai makanan yang telah di pesan. Nyata pelancong tersebut juga meluahkan kekecewaan terhadap kualiti makan yang dihidangkan pengusaha serta bertanya kepada penulis samada kualiti makanan dalam Pahang hanya sekadar melepas batuk di tangga?

Agak memalukan apabila penulis cuba meyakinkan pelancong mengenai makanan unik dalam Pahang yang perlu mereka nikmati namun pelancong tersebut berpendapat apa yang telah dihidangkan kepada mereka malam itu adalah gambaran keseluruhan juadah dalam Pahang. Pelawaan penulis mengajak pelancong merasai rasa sebenar masakan Pahang di tolak kerana mereka kecewa dengan cara dan sikap sesetengah pengusaha makanan di Cameron yang tidak mengutamakan kualiti sebaliknya hanya menyempurnakan kuantiti kepada pengunjung.

Mungkin Exco Pelancongan Pahang perlu berbuat sesuatu dalam menangani rungutan kebanyakan pelancong mengenai prestasi pengusaha sektor pemakanan di Cameron Highlands sebelum TMP 2017 bermula. Kesesakan setiap kali waktu cuti juga merimaskan pelancong domestik yang berharap agar kerajaan Pahang dapat memikirkan alternatif untuk mengurangkan rasa rimas akibat kesesakan jalanraya di Cameron Highlands.

Mungkin sudah tiba masa kerajaan Pahang melaksanakan sistem 'Shuttle' bagi pelancong dari luar dan domestik nikmati untuk ke destinasi tertentu. Jumlah kenderaan yang meningkat sebenarnya hanya menyumbang  kepada pencemaran udara di Cameron Highlands. 

Sebelum Tahun Melawat Pahang 2017 berlangsung secara rasmi tahun hadapan banyak perkara yang perlu dititikberatkan kerajaan Pahang untuk di praktikkan di tanah tinggi bagi mengurangkan rungutan pelancong. Seandainya berlarutan tidak mustahil pelancong enggan mengunjungi Cameron Highlands berdasarkan pengalaman mereka yang telah melalui berbagai kisah ngeri di tanah tinggi Pahang.

No comments:

Post a Comment