Showing posts with label Sharkar Shamsuddin. Show all posts
Showing posts with label Sharkar Shamsuddin. Show all posts

Tuesday, 13 September 2016

Tok Nan Umum Undur - Siapa Pilihan Rakyat Pahang?

Dato Seri DiRaja Adnan Yaakob yang telah mengemudi Pahang selama 18 tahun telah memberi bayangan bahawa beliau akan berundur ketika merasmikan Mesyuarat Umno Bahagian Ketereh pada 9 September 2016. Beliau yang terkenal dengan wajah serius telah bergiat dalam politik hampir 3 dekad kini melihat Pahang dalam situasi yang cukup memberangsangkan untuk menyerah tampuk kepimpinan kepada penggantinya.

Pengerusi Perhubungan Umno Pahang itu mungkin merasakan sudah tiba waktu untuk penyerahan 'baton' kepada salah seorang dari Adun BN untuk memacu Pahang ke era baru di bawah pentadbiran serta suasana baru. Bergelut dengan isu panas yang melanda Pahang dan berjaya menyelesaikan hampir kebanyakan isu, sudah tentu masa untuk bersama keluarga diperlukan bagi menebus semula kehilangan masa berharga demi menggalas amanah parti.

Persoalan yang kini bermain dalam fikiran rakyat Pahang, siapa yang paling layak untuk mengambil alih kerusi Menteri Besar Pahang dan mengurus Negeri Tok Gajah sebaik mungkin. Beberapa prospek dari kalangan Adun yang boleh di anggap 'otai' mungkin berada dalam radar perancangan Adnan bagi meneruskan visi beliau untuk kesejahteraan rakyat Pahang.

Jika di lihat dari kemampuan mengendali Pahang, pada hemat penulis ada beberapa nama hebat dalam Pahang merupakan calon pilihan untuk di lantik sebagai Menteri Besar seterusnya jika Adnan meneruskan hasrat beliau untuk berundur. 

Beberapa nama seperti Dato Shahiruddin Moin, Dato Wan Rosdy Wan Ismail, Dato Soffi juga antara calon pilihan yang dilihat berpotensi untuk kerusi MB Pahang. Beberapa Adun yang lain juga layak untuk kerusi tersebut dan hanya Pengerusi BN Pusat berhak menentukan siapa yang paling layak jika Tok Nan kekal dengan keputusannya berundur. Tidak kurang juga Exco Pelancongan Pahang, Dato Seri Mohd Sharkar Shamsuddin juga antara calon yang mampu menggalas tugas sebagai MB Pahang.

Sudah tentu apabila ada Menteri Besar baru maka keperluan untuk mempunyai karektor yang disenangi rakyat amat diperlukan apatah lagi dengan pelbagai isu yang melanda kepimpinan pusat. Secara keseluruhan Adun BN memberi sokongan penuh kepada Perdana Menteri Dato Sri Hj Mohd Najib Tun Abdul Razak ketika beliau di asak dengan tohmahan dan ujian. Inilah kesetiaan kepada parti dan pemimpin yang Pahang berikan kepada Najib. Malah, Sharkar sendiri selaku salah seorang Ahli Majlis Tertinggi Umno telah secara terbuka menyokong Najib dan sentiasa berusaha menjelaskan isu kepada rakyat.

Walau apa pun keputusan Adnan, rakyat Pahang tentu menghormati keputusan beliau dan jasa beliau kepada rakyat Pahang sangat dihargai. Siapa yang bakal menggantikan Adnan perlu bersedia untuk membawa Pahang ke era baru selaras dengan perancangan yang telah di rangka untuk rakyat Pahang.

Seperti sedia maklum apabila pertukaran seseorang Menteri Besar, beliau sudah tentu memerlukan sokongan kuat dari semua wakil rakyat BN bagi mengemudi BN Pahang memenangi PRU14 kelak. Penulis percaya dengan kemampuan Sharkar yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Pahang, beliau merupakan calon paling layak bagi kerusi MB Pahang. Jika di ambil kira Adun paling kanan selepas MB, Sharkar adalah calon yang paling sesuai dan ini hanyalah andaian penulis kerana segalanya akan ditentukan oleh pucuk pimpinan dan semua Adun BN akan akur dengan sebarang keputusan yang ditetapkan oleh Pengerusi BN Pusat yang juga merupakan Presiden Umno.

Nota penting**
Artikel ini hanya pandangan penulis dan tidak ada prejudis keatas sebarang keputusan pusat.

Tuesday, 3 May 2016

Kisah Ngeri Di Cameron Highlands - Bersediakah Pahang Untuk Tahun Melawat Pahang 2017?




Tahun 2017 diisytiharkan sebagai Tahun Melawat Pahang oleh Menteri Besar Pahang di satu majlis di Kuantan. Pahang secara fizikalnya telah bersedia menerima kunjungan pelancong domestik dan juga dari luar dan menjadi salah satu negeri yang berada dalam radar pengembara dari serata dunia untuk di lawati.

Kerja keras Exco Pelancongan Pahang, Dato Sri Mohd Sharkar Shamsuddin mempromosi negeri Tok Gajah ini sesuatu yang perlu di puji. Namun begitu terdapat kes kes terpencil yang akan mencacatkan TMP 2017 jika tidak diperbaiki secara agresif dan sistematik.

Sektor makanan unik dalam Pahang memainkan peranan yang agak berkesan bagi menarik pelancong kembali mengunjungi tempat pelancongan. Namun demikian ada pengusaha makanan yang mengabaikan kebersihan persekitaran premis mereka dan hanya memikirkan keuntungan sahaja.

Pengusaha restoran dan peniaga kecil memainkan peranan dalam sektor pelancongan kerana boleh di anggap sebagai 'Duta Kecil' Pahang dalam menggamit kehadiran pelancong. Pengalaman penulis menikmati makanan di sebuah restoran yang agak terkenal di tanah tinggi Cameron Highlands baru baru ini membuatkan penulis berfikir samada pengusaha sektor pemakanan telah bersedia untuk menerima tetamu atau sekadar berniaga untuk mencari keuntungan berganda.

Umum mengetahui Cameron Highlands antara kawasan yang kerap dikunjungi pelancong domestik serta luar dan kehadiran mereka membawa rezeki kepada peniaga di Cameron Highlands. Namun demikian sikap pengusaha makanan dan restoran yang menyediakan makanan mengecewakan dan meninggalkan kesan kepada penulis.

Makanan yang di hantar tidak memenuhi permintaan dan rasa yang di hidangkan juga sangat mengecewakan. Penulis sempat berbual dengan 3 orang pelancong dari Jerman dan bertanya kepada mereka mengenai makanan yang telah di pesan. Nyata pelancong tersebut juga meluahkan kekecewaan terhadap kualiti makan yang dihidangkan pengusaha serta bertanya kepada penulis samada kualiti makanan dalam Pahang hanya sekadar melepas batuk di tangga?

Agak memalukan apabila penulis cuba meyakinkan pelancong mengenai makanan unik dalam Pahang yang perlu mereka nikmati namun pelancong tersebut berpendapat apa yang telah dihidangkan kepada mereka malam itu adalah gambaran keseluruhan juadah dalam Pahang. Pelawaan penulis mengajak pelancong merasai rasa sebenar masakan Pahang di tolak kerana mereka kecewa dengan cara dan sikap sesetengah pengusaha makanan di Cameron yang tidak mengutamakan kualiti sebaliknya hanya menyempurnakan kuantiti kepada pengunjung.

Mungkin Exco Pelancongan Pahang perlu berbuat sesuatu dalam menangani rungutan kebanyakan pelancong mengenai prestasi pengusaha sektor pemakanan di Cameron Highlands sebelum TMP 2017 bermula. Kesesakan setiap kali waktu cuti juga merimaskan pelancong domestik yang berharap agar kerajaan Pahang dapat memikirkan alternatif untuk mengurangkan rasa rimas akibat kesesakan jalanraya di Cameron Highlands.

Mungkin sudah tiba masa kerajaan Pahang melaksanakan sistem 'Shuttle' bagi pelancong dari luar dan domestik nikmati untuk ke destinasi tertentu. Jumlah kenderaan yang meningkat sebenarnya hanya menyumbang  kepada pencemaran udara di Cameron Highlands. 

Sebelum Tahun Melawat Pahang 2017 berlangsung secara rasmi tahun hadapan banyak perkara yang perlu dititikberatkan kerajaan Pahang untuk di praktikkan di tanah tinggi bagi mengurangkan rungutan pelancong. Seandainya berlarutan tidak mustahil pelancong enggan mengunjungi Cameron Highlands berdasarkan pengalaman mereka yang telah melalui berbagai kisah ngeri di tanah tinggi Pahang.