Tuesday, 17 May 2016

Warisan Berharga Untuk Generasi Akan Datang - Sultan Pahang





Penerokaan hutan serta khazanah negara oleh pihak tidak bertanggungjawab menarik minat Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah dalam titah baginda merasmikan Sidang Dewan Undangan Negeri Pahang penggal ke-4 kali ke-13 di Wisma Seri Pahang.

"Pemuliharaan alam perlu kerana negeri dan isi kandungannya akan diwarisi generasi akan datang. Kita wajib meninggalkan satu warisan yang berterusan dan berkekalan kepada mereka"

Baginda yang turut meminta kerajaan negeri mempercepatkan langkah mewartakan tanah rizab Orang Asli di Pahang selain membantu meningkatkan lagi ekonomi kaum pribumi tersebut.

"Orang Asli tidak lagi boleh mengamalkan kehidupan seperti dahulu,mereka mesti menyesuaikan diri dengan peredaran masa. Kerajaan Beta tidak mengabaikan kepentingan Orang Asli"

Baginda turut menyampaikan rasa puashati atas usaha kerajaan Pahang yang merancang membina kira kira 33,000 unit rumah berharga RM150,000.00 sejak 2013 hingga kini. 

"Beta juga gembira kerajaan negeri mengambil inisiatif melaksanakan program perumahan berharga RM80,000.00 seunit untuk dimiliki rakyat dan sejak Mac lepas sehingga kini sebanyak 1,000 unit rumah telah berjaya dibina"

Berkaitan teguran Sultan Ahmad Shah mengenai kerakusan pihak pemaju yang terus menerus meneroka hutan tanpa mengambilkira faktor muka bumi, seharusnya kerajaan negeri melaksanakan satu undang undang yang mewajibkan setiap syarikat yang berminat memajukan sesuatu kawasan mematuhi syarat ketat pihak EIA.


Penerokaan di Gunung Dulang yang dipercayai antara punca Sungai Tembeling menajdi cetek perlu dipandang serius pihak kerajaan negeri. Sumber air sepatutnya dipelihara dengan baik untuk kelangsungan rakyat Pahang dan ini merupakan ancaman terhadap geologi muka bumi serta hidupan liar di hutan berkenaan.

Kerajaan juga perlu memandang serius penerokaan balak secara haram yang berleluasa dalam negeri Pahang demi menjaga kestabilan ekosistem hutan hujan tropika Pahang yang terkenal sebagai tadahan hujan dan keindahan flora fauna sejak sekian lama. 

Saranan Sultan Ahmad Shah agar kerajaan negeri memelihara kepentingan warisan hutan perlu diterapkan kepada seluruh rakyat agar terus mempertahankan tinggalan berharga untyk generasi akan datang.

No comments:

Post a Comment