Tuesday 9 August 2016

Taman Bandar Raub Bakal Jadi Kawasan Perumahan - Kawasan Hijau Jadi Mangsa Rakus Kontraktor?



TAMAN BANDAR DIMAJUKAN UNTUK PROJEK PERUMAHAN ELIT - KAWASAN HIJAU JADI MANGSA?


Kewujudan tempat riadah dalam sebuah bandar kecil sangat disenangi penduduk yang menghabiskan masa lapang bersama keluarga setiap hujung minggu. Mengekalkan kehijauan hutan menyegarkan suasana dan ketenangan yang sememangnya diperlukan untuk melepaskan lelah setelah penat berkerja. Paling utama hubungan kekeluargaan dapat dieratkan bila mengahbiskan masa berkualiti bersama dan sudah pasti kawasan riadah menjadi pilihan penduduk setempat.


Taman Bandar yang terletak di Jalan Sultan Abdul Samad, Raub antara pilihan penduduk untuk melakukan aktiviti rekreasi hujung minggu. Selain dari Taman Tasik Raub, Taman Bandar antara pilihan penduduk untuk berlibur bersama keluarga dalam suasana damai. Merupakan bekas padang golf sebelum dipindahkan ke Cheroh, Taman Bandar dipulihara oleh Majlis Daerah Raub dengan penanaman pelbagai jenis pokok dan tempat tersebut di naik taraf hingga menepati citarasa pelbagai palisan masyarakat yang mahu mengabadikan kenangan. Turut menjadi antara lokasi 'wajib' pengantin yang mahu suasana hijau taman, Taman bandar juga menjadi salah satu lokasi permainan kanak kanak yang paling selamat.


Berhadapan dengan Hospital Raub serta dilengkapi dengan kemudahan aktiviti bersukan ringan, ianya adalah satu tempat yang berjaya menarik perhatian ibubapa untuk anak anak berkenalan dengan pelbagai kaum yang mengunjungi tempat tersebut. Kemesraan antara kaum dapat di lihat bila mereka bermesra tanpa ada prejudis sesama mereka sambil bermain di taman tersebut.

Namun demikian, penduduk Raub bakal kehilangan kawasan riadah tersebut apabila ia bakal dimajukan sebagai lokasi perumahan bermula 1 Oktober 2016. Kawasan ini difahamkan akan dimajukan oleh sebuah syarikat untuk dijadikan kawasan perumahan elit dan ini merupakan kejutan buat penduduk Raub.

 Persoalan bakal menghantui penduduk Raub berkaitan kesesuaian lokasi tersebut yang akan dimajukan berikutan sejarah lama kawasan tersebut. Raub yang terkenal sebagai tapak perlombongan emas satu ketika dahulu merupakan antara pengeluar emas terbaik Malaysia dan kewujudan lombong emas di bawah tanah Raub tidak dapat di sangkal. Secara kebetulan Taman Bandar pula dikatakan berada di atas terowong lombong emas lama Raub dan ada beberapa kisah berkaitan kawasan tersebut yang masih menjadi bualan penduduk lama Raub. Antara yang masih diingati mereka ialah tiada bangunan boleh didirikan diatas terowong lama bagi mengelakkan tanah jerlus sekaligus meranapkan bangunan yang tersergam di atasnya. 


Bagaimana pula sebuah syarikat boleh mendapat kelulusan untuk mendirikan kawasan perumahan di tempat tersebut? Risiko yang bakal di hadapi syarikat tidak menjadi beban kepada penduduk tetapi kesan projek berkenaan dikhuatiri akan menyebabkan hospital yang berhadapan dengan Taman Bandar di cemari dengan sisa sisa habuk dari bangunan yang bakal di bina. Mengapa kawasan riadah yang berpotensi menjadi pilihan syarikat tersebut? 

Adakah laporan dari Jabatan Alam Sekitar telah diperolehi syarikat tersebut sebelum melakukan kerja kerja membina bangunan di kawasan tersebut? Persoalan paling utama ialah mengapa kawasan riadah tersebut dipilih untuk dijadikan lokasi perumahan? Siapa yang meluluskan lesen untuk syarikat berkenaan tidak dapat dipastikan namun demikian risiko pencemaran terhadap Hospital serta alam sekitar perlu diperjelaskan kontraktor berkenaan bagi mengelak sebarang masalah timbul apabila projek bermula.

Lokasi yang menjadi pilihan riadah penduduk Raub dikorbankan bagi memudahkan kontraktor membina perumahan elit yang dikatakan bermula dengan harga RM500,000.00 bagi setiap unit yang tersedia. Pembeli sasaran syarikat tentulah orang luar dan tidak ramai orang Raub mampu memiliki hartanah jika harganya semakin tidak munasabah dengan pendapatan. Perlu diingatkan juga pencemaran bakal berlaku dan ini bukan sahaja mengundang risiko kepada penduduk malahan alam sekitar Raub juga mampu terjejas jika projek berkenaan diteruskan.


Pihak Majlis Daerah Raub pula dikatakan tidak dapat berbuat apa apa kerana tidak lagi berkuasa keatas kawasan riadah tersebut dan pengambil alihan dilakukan secara 'Ghaib' terjadi. Siapakah pihak 'ghaib' tersebut yang berjaya meyakinkan syarikat kontraktor untuk membina perumahan dan lot kedai di atas tanah Taman Bandar? Lot kedai yang bakal di bina pula pastinya mencecah jutaan ringgit berikutan status eksklusif tanah tersebut. Siapa pula yang akan menjadi sasaran untuk memiliki lot kedai berkenaan?

Sikap tamak pemaju projek dan empunya tanah yang tidak memperdulikan kesan buruk terhadap alam sekitar dan keadaan ekonomi rakyat pula dilihat menjadi satu trend bagi memaksa rakyat menerima kemajuan tanpa persoalan. Adakah penduduk Raub tidak berhak mendapat satu kawasan reakreasi bagi mereka dan semua ini dilakukan atas nama kemajuan? 

Jangan hingga rakyat bersuara menentang kemajuan yang dibawakan kerana mereka juga berhak untuk mendapat keselesaan serta ketenangan fikiran. Perlukah projek berkenaan diteruskan syarikat yang di lantik dan memusnahkan satu kawasan hijau yang sangat diperlukan penduduk Raub? Mana hilangnya Ahli Parlimen Raub disaat diperlukan rakyat bagi meminta penangguhan projek berkenaan dan meminta kajian dilakukan dengan terperinci sebelum dimulakan? Mana hilangnya semua wakil rakyat yang menjanjikan khidmat kepada rakyat jika tidak dapat memberi sedikit harapan tetapi meminta rakyat mengundi mereka setiap kali pilihanraya?

No comments:

Post a Comment