Showing posts with label Majlis Daerah Raub. Show all posts
Showing posts with label Majlis Daerah Raub. Show all posts

Wednesday, 31 August 2016

Pemaju 'Lelong' Logo Majlis Daerah Raub?

Bantahan dari penduduk Raub berkaitan projek pembangunan yang dirancang diadakan di Taman Bandar Raub telah mendapat perhatian pihak atasan.

Bagaimanapun keputusan rasmi mengenai projek berkenaan masih belum dikeluarkan samada projek diteruskan atau dibatalkan. Papan iklan berkaitan projek telah diturunkan selaras dengan perintah dari Yang DiPertua Majlis Daerah Raub kerana pemaju bertindak di luar pengetahuan MDR apabila meletakkan logo MDR di papan iklan tersebut tanpa kebenaran.

"Tq..atas keprihatinan. Selagi plan infra belum diluluskan pemaju tidak boleh menaikkan papan tanda projek. Papan tanda perlu dpt kelulusan mdr..
PEMAJU TELAH DIARAH DAN BERSETUJU MEMBUKA PAPAN TANDA PD HARI INI.
APA2 MAKLUMAT KETIDAK PATUHAN BOLEH TERUS KPD EN AZHARI...KJA...
TQVM..
Wassalam..." - YDP MDR

Tinjauan mendapati pihak pemaju telah mengarahkan kontraktor papan iklan menurunkan iklan tersebut pada jam 11.00 pagi 1 September 2016.

Penduduk Raub yang membantah projek berkenaan berharap Kerajaan Negeri mempertimbangkan bantahan mereka termasuk bantahan dari Ahli Mesyuarat Majlis Daerah Raub sendiri.

Pada pendapat mereka projek berkenaan hanya akan merosakkan alam sekitar Raub selain mendatangkan masalah pencemaran terhadap Hospital Raub yang terletak berhadapan dengan Taman Bandar Raub. Terbukti pemaju seakan 'berkuasa' melebihi MDR apabila bertindak memasang papan iklan sebelum mendapat kelulusan MDR.

Benarkah pemaju ada 'Orang Ghaib' di belakang mereka dan menyokong projek tersebut? Siapa yang akan kaut keuntungan dari projek berkenaan? Penduduk Raub yang kesal dengan projek tersebut mempertikaikan keputusan SUK Pahang yang membenarkan kawasan hijau Raub dikorbankan demi keuntungan pemaju serta mempersoalkan mengenai tahap keselamatan projek berkenaan yang terletak dalam jajaran terowong lombong emas lama.

Perlukah SPRM menyiasat mengenai kelulusan projek berkenaan jika ianya tidak selamat? Adakah projek itu telah mendapat kelulusan EIA memandangkan kewujudan terowong lombong emas lama yang terletak dalam laluan di Taman Bandar Raub?

Rakyat Raub memerhati dengan minat perkembangan isu ini. Mereka tidak menolak pembangunan tetapi mengapa perlu dikorbankan kawasan riadah dan hijau dalam Raub?

Naik Papan Tanda - Pemaju Lebih Berkuasa,Adakah Wujud 'Tangan Ghaib' Dalam Kelulusan Projek Taman Bandar Raub?

Penduduk Raub yang rata rata membantah projek pembangunan yang diluluskan oleh Majlis Daerah Raub (MDR) kesal dengan perancangan bandar yang dilakukan. Bagi mereka Taman Bandar Raub yang terletak berhadapan dengan Hospital Raub tidak perlu dikorbankan dengan projek penswastaan oleh SUK Negeri hanya kerana memenuhi kehendak pemaju.

Sejarah Raub yang terkenal dengan terowong lombong emas satu dan kebetulan Taman Bandar Raub terletak dalam jajaran terowong merupakan risiko yang bakal di hadapi oleh pembeli hartanah yang bakal dibangunkan. Selain dari masalah pencemaran dan kehilangan tempat riadah paling selamat,penduduk Raub turut menyatakan MDR sepatutnya menimbangkan keperluan perumahan bagi rakyat dan bukannya lot kedai yang mahal dan belum tentu dimiliki orang Raub sendiri.

SUK Pahang juga sepatutnya melihat keperluan perumahan berbanding dengan pembinaan lot kedai yang hanya ' mampu pandang'. Walau Menteri Besar Pahang telah menyatakan penolakan projek berkenaan secara tidak rasmi sewaktu di temui selepas perasmian mesyuarat Umno Bahagian Cameron yang dirasmikan oleh Perdana Menteri pada 27 Ogos 2016, papantanda yang dinaikkan oleh pihak pemaju menimbulkan kemusykilan. Adakah pihak pemaju lebih berkuasa daripada PBT dan Menteri Besar atau ada 'tangan ghaib' disebalik semua ini?

Adakah pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ( SPRM) perlu melihat kewujudan 'tangan ghaib' dalam kelulusan projek berkenaan? Mengapa Umno Raub hanya berdiam diri dan turut bersetuju dengan kemusnahan kawasan hijau yang bakal berlaku andainya projek ini diteruskan? Sejak kerusi Parlimen Raub dirampas DAP, Umno Raub seakan tidak berdaya membantu rakyat dalam masalah yang dikemukakan. Adakah Umno Raub memang tidak mahu mengambil kembali kepercayaan rakyat dalam isu ini?

'Tepuk dada,tanya selera', rakyat memerhati segalanya dengan minat dan mereka akan menggunakan kuasa memilih bila tiba ketikanya. Perancangan yang mungkin menguntungkan sebelah pihak dilihat akan memudaratkan sebelah pihak dan ini mengundang amarah rakyat terhadap kerajaan.

Tuesday, 30 August 2016

Pemaju Lebih Berkuasa - Kerajaan Teruskan Projek Musnahkan Kehijauan Raub?

Bantahan dari rakyat terhadap projek di bawah kuasa SUK Pahang nampaknya sudah tidak ada guna apabila papantanda mengenai pembikinannya telah berdiri megah di Taman Bandar Raub.

Penulis agak musykil kerana dalam pertemuan singkat bersama MB Pahang, penulis sempat bertanya mengenai isu Taman Bandar Raub. Beliau yang secara tegas memberitahu kerajaan negeri yang di tadbirnya adalah sebuah kerajaan yang mendengar kehendak rakyat dan turut menyatakan projek pembangunan yang dirancang di kawasan hijau Raub itu akan ditolak.

Namun demikian, pemaju seperti sudah berkuasa penuh dengan menaikkan papantanda berkaitan projek berkenaan.
Perlu diingatkan sekali lagi, Taman Bandar Raub terletak di atas jajaran terowong lombong emas lama Raub dan ini merupakan sebahagian dari risiko yang akan di tanggung oleh pembeli.

Adakah projek ini sememangnya mendapat kelulusan dari pihak EIA?  Atau ada 'tangan ghaib' dalam urusan dan kelancaran projek? Rakyat Raub perlukan penjelasan dari Majlis Daerah Raub demi kepentingan mereka.

Friday, 19 August 2016

Kerakusan Manusia Bakal Musnahkan Alam Sekitar Raub - Bantahan Tidak Beri Kesan Demi Keuntungan Pemaju?




KERAKUSAN MANUSIA BAKAL LENYAPKAN NILAI ALAM SEKITAR - TAMAN BANDAR RAUB MENJADI MANGSA MANUSIA.

Persekitaran yang nyaman bukan pertaruhan untuk dikorbankan atas nama kemajuan. Hutan mengambil masa yang panjang untuk pulih dari kerakusan tangan manusia yang merosakkannya demi keuntungan, begitu juga dengan nilai kesihatan persekitaran yang adakala terkorban dek nafsu manusia.


Dalam kepesatan menuju negara maju, manusia kadang terlupa alam sekitar turut memainkan peranan penting dalam kitaran hidup. Kompromi alam dan manusia membekalkan udara segar untuk dinikmati setiap orang adalah amat beharga dan tiada nilai yang mampu membayarnya. Kemajuan tidak di halang cuma bila kemajuan terlalu menghakis alam sekitar maka kemusnahan pasti akan berlaku dan ini merupakan malapetaka untuk kehidupan dan alam sekitar.



Raub merupakan satu daerah kecil dalam Pahang yang kini semakin menuju kepesatan dengan pertambahan penduduk. Keperluan tempat tinggal menjadi agenda penting untuk kerajaan dan Pihak Berkuasa Tempatan(PBT) termasuk kerajaan negeri. Peka dengan perkembangan ini, projek perumahan yang sesuai dengan pendapatan dan keselesaan penduduk telah di rancang dengan teliti. Namun demikian, mengorbankan kawasan hijau yang sedia ada demi kemajuan bukanlah tindakan yang bijak. Apatah lagi kawasan tersebut termasuk dalam lingkaran terowong lombong emas yang memberi risiko kepada pihak pemaju dan penduduk yang bakal mendiami kawasan tersebut.



Taman Bandar Raub yang merupakan satu satunya kawasan riadah bagi penduduk sekitar Raub bakal menjadi mangsa kemajuan yang di tagih rakyat. Satu projek pembangunan melibatkan kawasan perumahan serta lot kedai bakal di bina di kawasan tersebut dan ini memberi kejutan buat orang ramai yang sering mengunjungi tempat itu. Rata rata mereka tidak bersetuju dengan perancangan memajukan kawasan riadah yang menjadi tempat melepaskan tekanan mengharungi hidup. 



Boleh dikatakan hampir setiap hari penduduk sekitar Raub akan mengunjungi kawasan itu yang terletak berhadapan dengan Hospital Raub. Kawasan yang menjadi tumpuan penduduk sekitar merupakan kawasan hijau dan ini sangat mendatangkan kesan kepada mereka sekiranya projek pembangunan yang di rancang diteruskan kerajaan negeri dan PBT. Bagi mereka, mengorbankan kawasan itu bakal mendatangkan masalah kepada mereka dan pemaju projek kerana sejarah daerah Raub sendiri menyatakan kewujudan terowong lombong emas mengunjur dari Bukit Koman menghala ke bandar Raub. 






Sejarah kewujudan terowong lombong emas di Raub merupakan intipati utama kewujudan bandar Raub dan melalui pengetahuan penduduk asal Raub, terowong tersebut terletak di bawah kawasan Taman Bandar Raub dan ini menimbulkan persoalan bagaimana kelulusan projek berkenaan begitu mudah diberikan sedangkan risiko kepada pemilik harta tanah tidak didedahkan kepada bakal pembeli? Sudahlah kawasan riadah dikorbankan,risiko pula tidak diketahui oleh bakal pemilik dan ini menjadi polemik persoalan kepada penduduk Raub mengenai kewajaran projek diteruskan.


Pendirian Majlis Daerah Raub (MDR) dalam hal memajukan kawasan Taman Bandar turut menjadi perhatian kerana ada keraguan berkaitan apa yang telah digariskan oleh MDR sendiri bertentangan dengan projek berkenaan.





Campurtangan dari wakil rakyat yang di pilih juga amat mengecewakan apabila kepentingan rakyat tidak lagi menjadi keutamaan tetapi lebih memandang keuntungan di atas projek berkenaan. Konflik ini memperlihatkan sikap sebenar wakil rakyat yang tidak peduli nasib rakyat serta bantahan berkaitan projek yang di rancang dan ini antara penyebab kebencian rakyat terhadap retorik politik yang dijanjikan kepada rakyat ketika menghadapi pilihanraya. Jelas sekali rakyat memerhati segala tindak tanduk wakil rakyat yang pernah berjanji untuk melakukan apa sahaja yang boleh untuk memastikan suara rakyat didengari kerajaan. Kemana hilang semua itu ketika bantahan disuarakan oleh Ahli Majlis Daerah Raub setiap kali projek berkenaan dikemukakan dalam mesyuarat? Adakah kerana ada keuntungan yang bakal di perolehi menjadikan suara rakyat sudah tidak relevan kepada wakil rakyat?

Pertimbangan terhadap pencemaran  kesan pembangunan di Taman bandar raub turut perlu dipertimbangkan. Berhadapan dengan Hospital, Taman bandar Raub tidak sesuai untuk dijadikan lokasi perumahan kerana pencemaran pasti akan berlaku semasa pembinaan dan ini sesuatu yang tidak baik kepada kesihatan penduduk sekitar yang akan turut terkesan dengan habuk serta pencemaran lain. Walau pihak pemaju boleh 'berjanji' tahap pencemaran terkawal dan di bawah pemerhatian, ini bukanlah jaminan tidak akan berlaku masalah kepada alam sekitar di kawasan tersebut. Lokasi Hospital Raub yang hanya lebih kurang 200 meter dari Taman Bandar Raub pasti akan menerima tempias dari pembangunan tersebut.

Wajarlah sekali kerajaan negeri dan Majlis Daerah Raub mengkaji semula kesan projek berkenaan dan mengutamakan keselesaan rakyat dari memikirkan keuntungan semata-mata. Tidak ada gunanya bermegah dengan kewujudan kemajuan jika alam sekitar menjadi mangsa kerakusan pemaju dan pihak yang bakal mengaut keuntungan dari projek berkenaan. Usah biar pewaris akan datang hidup tanpa mengenali kawasan hijau dan hanya memandang kepesatan pembangunan yang telah mengorbankan nilai nilai alam sekitar.




Apakah nilai alam sekitar lebih murah dari keuntungan tangan rakus yang mahu memusnahkan keperluan manusia dan kaitannya dengan alam sekitar? Perlu diingatkan rakyat sentiasa memerhati apa sahaja yang dilakukan dan pastinya mereka akan bersuara jika sudah tidak mampu berkompromi dengan kemajuan mahupun kerosakan yang dilakukan manusia.

Sunday, 14 August 2016

Wakil DAP Tidak Peduli Isu Tempatan - Taman Bandar Raub Bakal Hilang Dari Bumi Raub





MANA AHLI PARLIMEN RAUB DAN DUN TRAS KETIKA ISU BERKAITAN KAWASAN MEREKA DIPERKATAKAN RAKYAT?


Pembinaan kawasan perumahan sesebuah bandar sememangnya menjadi agenda kerajaan kepada rakyat dalam memberi keselesaan untuk dinikmati, namun demikian soal keselamatan serta soal strategik dan kemampuan rakyat memiliki kediaman idaman turut perlu dipertimbangkan. Dalam mengejar keuntungan, pihak pemaju juga perlu mengambilkira keselamatan pembeli sesebuah kediaman yang mahu di promosi kepada pembeli.

Daerah Raub tidak ketinggalan apabila kepadatan penduduk kian bertambah dan kediaman untuk dimiliki pula terhad dan ini menjadi masalah kepada penduduk setempat yang masih tiada tempat tinggal milik sendiri. Pembangunan untuk rakyat sememangnya dialu alukan oleh rakyat dan penduduk setempat, namun demikian mereka juga berhati hati dalam memilih kediaman.

Sebuah taman reakreasi yang terletak di Jalan Tengku Abdul Samad, bakal dibangunkan dengan perumahan dan ini merupakan khabar yang mengejutkan. Satu satunya kawasan hijau dalam daerah Raub bakal dihapuskan demi memberi laluan kepada projek 'Perumahan Elit' yang belum tentu mampu dimiliki orang Raub sendiri. Dalam satu pautan blog, jelas menyatakan bandar Raub sebenarnya berdiri di atas terowong lombong emas tinggalan British dan Taman Bandar merupakan antara laluan utama terowong tersebut. 

 Pautan dari : http://cikguzairol.blogspot.my/2010/04/sejarah-bandar-raub.html

"People found that for every "dulang" of sand there was a handful (raub) of gold" .

Raub menjadi terkenal pada awal abad ke-20 kerana hasil emasnya. Syarikat lombong emas yang mengusahakan perlombongan di daerah ini ialah Raub Australian Gold Mine (R.A.G.M) yang didaftarkan pada 1889 di Queensland, Australia. RAGM juga dikenali sebagai Raub Gold Mine. Pada awalnya syarikat lombong ini dikenali sebagai Australian Syndicate Ltd dan kemudian Australian Gold Mining Co. Ltd pada 1892. RAGM beroperasi sehingga 1961.

Kaedah perlombongan yang dijalankan di daerah Raub adalah kaedah bawah tanah (shaft mining) dan ia dimulakan di Lubang Raub (Raub Hole). Daerah yang terlibat dengan perlombongan emas ialah Bukit Koman dan dipercayai perlombongan telah meliputi kawasan bawah tanah hingga ke bandar Raub. Kawasan bawah tanah antara pekan Bukit Koman dan bandar Raub adalah berlubang dan ini meninggalkan kesan yang buruk kepada pembangunan fizikal bandar. Hingga kini Raub tidak boleh mendirikan bangunan-bangunan tinggi.

Adakah Majlis Daerah Raub bersedia menerima sebarang musibah seandainya projek perumahan yang di jangka bermula pada 1 Oktober 2016? Bantahan awal dari pihak Ahli Majlis dalam mesyuarat Majlis Daerah Raub ternyata tidak dipedulikan demi mengejar keuntungan hasil projek tersebut. Adakah projek berkenaan telah mendapat 'lampu hijau' dari pihak EIA yang bertanggungjawab untuk meluluskan sebarang projek yang berhubungkait dengan alam sekitar?

Perlu diingatkan, Taman Bandar merupakan satu kawasan riadah dan kawasan hijau yang dikatakan berusia 100 tahun dan hanya kerana keuntungan maka tempat tersebut dikorbankan? Pertimbangan wajar juga terhadap soal keselamatan projek berkenaan yang berhadapan dengan risiko 'bolos' ke dalam terowong lombong emas tinggalan zaman British.

Kerajaan negeri juga perlu memandang serius mengenai projek ini yang sebenarnya  menerima bantahan dari penduduk setempat. Pencemaran terhadap kehijauan alam sekitar yang bakal terjadi dengan bermulanya projek itu juga merunsingkan penduduk Raub. Malah jarak Hospital yang tidak sampai 500 meter dari tapak projek akan menerima ancaman pencemaran teruk dari projek berkenaan.

Wakil rakyat perlu memainkan peranan mereka bagi sekurang-kurangnya meminta penangguhan projek berkaitan hingga siasatan berkaitan keselamatan projek dan kesan pencemaran terhadap Hospital, penduduk dan alam sekitar mendapat kelulusan pihak berkuasa dan bukan hanya memikirkan keuntungan pihak pemaju sahaja.


Rakyat yang berharap kepada wakil rakyat untuk menjuarai isu setempat akan menjadi tidak yakin seandainya wakil rakyat tidak mampu berbuat apa apa dalam isu ini. Parlimen Raub yang di kuasai Democratic Action Party (DAP) berserta wakilnya tidak pula tampil dan memberi penjelasan kepada rakyat mengenai isu yang menimpa kawasan yang mereka wakili. Malah, janji Dato Ariff Sabri untuk menjadi suara kaum Melayu Raub juga tidak ditunaikan apabila tidak nampak kelibat beliau di Raub semasa isu ini hangat diperkatakan oleh penduduk Raub. ADUN Tras yang juga merupakan wakil DAP juga seperti tidak berfungsi sebagai wakil rakyat bila isu ini terjadi.

Kemanakah mereka ketika rakyat mula sibuk berkira kira untuk membantah projek berkenaan? Adakah suara rakyat serta undian daripada rakyat hanya mereka perlukan ketika Pilihanraya sahaja?

Thursday, 11 August 2016

Taman Bandar Raub Bakal Jadi Mangsa Keuntungan Pemaju Projek - Wakil Rakyat Hanya 'Mampu' Lihat?







UTAMAKAN KEUNTUNGAN PEMAJU PROJEK DAN KORBANKAN KEPENTINGAN RAKYAT- TAMAN BANDAR RAUB BAKAL DIMANGSAKAN?

Kerajaan sentiasa mengutamakan keselesaan rakyat dengan kelestarian alam semulajadi serta menjaga keseimbangan antara kemajuan tanpa merosakkan alam sekitar yang sedia ada. Namun demikian sikap rakus manusia yang hanya berpaksi kepada keuntungan tanpa mengambil kira kerosakkan terhadap kehidupan sekeliling semakin berleluasa kebelakangan ini. Pencemaran yang sering terjadi mungkin kelihatan kecil pada awalnya namun bakal mengundang malapetaka bila bumi sudah tidak mampu berkompromi dengan kemajuan yang dilakukan tanpa sekatan.

Dalam membangunkan daerah Raub, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang diberikan kuasa adalah Majlis Daerah Raub (MDR) telah melaksanakan segala rancangan dengan berkala. Namun demikian desas desus pengambilan sebuah taman riadah yang terletak di Jalan Tengku Abdul Samad amat mengejutkan penduduk tempatan. Sesuatu di luar dugaan bagi penduduk Raub jika kawasan riadah tersebut yang merupakan kawasan hijau dalam bandar kecil ini dibangunkan dengan pembinaan perumahan.

Taman Bandar Raub yang terletak berhadapan dengan Hospital Raub bakal mengalami pencemaran dari kesan pembinaan kawasan terbabit yang difahamkan akan bermula pada 1 Oktober 2016. Difahamkan Majlis Daerah Raub tidak dapat melakukan apa apa berkaitan perkara tersebut dan segalanya terletak dalam bidang kuasa kerajaan negeri. Difahamkan dalam mesyuarat bulanan Ahli Majlis Daerah Raub, mereka turut menyatakan bantahan berkenaan projek berkenaan dan bantahan ini telah pun disuarakan namun tidak dipertimbangkan.



Rata rata penduduk setempat yang sering beriadah di kawasan tersebut tidak bersetuju dengan perancangan yang mahu dilakukan berikutan tiada tempat khusus untuk mereka beriadah dengan selesa bersama keluarga selain memikirkan kawasan hijau yang difahamkan berusia lebih dari 100 tahun.  Bagi mereka pembangunan masih boleh diteruskan tetapi bukan di kawasan yang berhampiran dengan penempatan Hospital dan kawasan reakreasi yang mempunyai sejarah tersendiri untuk daerah Raub.

Dalam rangka pembangunan Daerah Raub termaktub beberapa garis panduan bagi pihak MDR ikuti dalam pembangunan daerah yang terkenal dengan jolokan Bandar Emas ini. Rang Undang Undang Kecil PBT MDR juga menggariskan beberapa peraturan yang perlu diikuti sebagai langkah untuk memastikan kelestarian Raub dan alam sekitar. 

Pautan tersebut boleh di akses orang ramai melalui 

http://iplan.kbse.org/workspaces/hafifi/repo_files/repository/repository/rt/1445948928_Jilid%201.pdf

Antara yang termaktub dalam Pelan Pembangunan Daerah Raub adalah seperti berikut

STRATEGI PEMBANGUNAN ALAM SEKITAR

  • Memelihara kawasan Hutan Simpan Kekal di seluruh kawasan RTD Raub
  • Mengekalkan kawasan pertanian yang bersebelahan Hutan Simpan Kekal
  • Mewujudkan koridor hijau sebagai laluan hidupan liar
  • Menghindarkan pengaliran buangan domestik secara terus ke dalam jasad air
  • Mewujudkan rizab atau koridor sungai sebagai langkah pengukuhan tebing serta pengekalan kepentingan sungai
  • Mewujudkan kawasan perindustrian supaya aktiviti ini lebih tersusun dan mudah di kawal
Antara RU7 MDR pula termaktub

  • Perlaksanaan projek perumahan perlu mengikuti piawaian perancangan, Rancangan Struktur serta kehendak kehendak alam persekitaran. Menyediakan garis panduan perumahan berdasarkan piawaian perancangan sedia ada.


Apa yang dikesalkan adalah pengambilalihan kawasan riadah yang merupakan satu satunya kawasan bagi pengunjung menikmati suasana hijau di daerah Raub dan ini pastinya sesuatu yang sangat menjengkelkan penduduk setempat. Selain Taman Tasik Raub yang berada di bawah selenggaraan JPS Raub, penduduk tempatan tiada kawasan lain bagi melakukan aktiviti sihat bersama keluarga mereka. Malah kemudahan infrastruktur Taman Bandar yang menawarkan tempat permainan kanak kanak menarik minat ibu bapa untuk membawa keluarga ke sana malah keselamatan anak anak juga agak terjamin.

Projek perumahan yang bakal di bina di tanah tersebut pula tidak menawarkan perumahan yang diperlukan golongan kelas pertengahan kerana difahamkan setiap unit bermula dari harga RM500,000.00 dan ke atas. Tidak lojik jika syarikat pembinaan menawarkan unit untuk di miliki penduduk kelas pertengahan dengan harga yang begitu tinggi dan ini pasti mengundang rasa tidak puas hati rakyat kerana tidak mampu membeli apa yang akan dibangunkan kelak. Nilai hartanah tersebut pastinya akan melambung dengan taraf elit yang diletakkan dan ini sesuatu yang tidak mendatangkan manfaat kepada penduduk Raub sendiri.

Faktor keselamatan juga perlu di ambil kira kontraktor pemaju sebelum menjual hartanah jika kawasan tersebut dimajukan. Sejarah perlombongan emas Raub sejak zaman British sememangnya tidak dinafikan dan Raub wujud di atas terowong terowong emas yang pernah di gali pelombong terdahulu. Difahamkan Taman Bandar turut berada di atas laluan terowong lama emas dan ini merupakan sesuatu yang amat berbahaya jika projek berkenaan diteruskan. Menurut dakwaan penduduk asal Raub, kawasan tersebut pernah meragut nyawa kerana terbolos dalam lubang yang terbentuk kerana laluan terowong emas yang wujud di kawasan tersebut. Jika benar perkara yang di dakwa oleh penduduk lama Raub, maka faktor ini perlu di ambil kira PBT serta kerajaan negeri sebelum sebarang projek dimulakan.

Persoalan menarik berkaitan projek tersebut adalah mengenai kelulusan EIA bila berkaitan sebarang pembangunan yang melibatkan kepentingan alam sekitar dan manusia. Adakah projek berkenaan mendapat kelulusan EIA tanpa sebarang pertimbangan mengenai alam sekitar dan keselamatan manusia? Perlu diingatkan kawasan tersebut merupakan kawasan hijau yang dikatakan berusia lebih 100 tahun dan merupakan satu kerugian bagi pihak tempatan jika benar projek berkenaan diteruskan kerana untuk mewujudkan kawasan hijau memerlukan masa yang agak panjang. Mengapa pihak MDR tidak mewartakan kawasan tersebut sebagai kawasan hijau seperti Taman Tasik Taiping? Perlukah alam hijau dikorbankan hanya untuk mendirikan perumahan elit yang rata rata rakyat hanya 'mampu pandang'?

Adakah kepentingan pemaju projek berkenaan lebih penting daripada kepentingan kesimbangan alam dan penduduk Raub atau hanya bersifat keuntungan yang tidak menyebelahi rakyat? Siapa yang akan bertanggungjawab jika berlaku pencemaran terhadap Hospital serta pesakit jika segala kekotoran terus mencemari kawasan hijau tersebut? Kemana pula penduduk tempatan mahu menghabiskan masa terluang dengan keluarga selepas kehilangan satu satunya kawasan riadah keluarga di Taman Bandar Raub?

Adakah wakil rakyat yang di pilih pengundi hanya mampu melihat sahaja tentangan rakyat terhadap rancangan ini dan tidak mampu berbuat apa apa selepas berjanji akan berkhidmat untuk rakyat? Kemana hilangnya parti politik serta wakil rakyat ketka rakyat memerlukan pembelaan sewajarnya? Mungkin bagi wakil rakyat, suara rakyat ini hanya akan digunakan bila tiba pilihanraya dan selepas berkuasa mereka tidak berguna lagi dan membiarkan segalanya diteruskan demi keuntungan pemaju projek?

Jika nasi sudah menjadi bubur, tiada guna lagi projek berkenaan dihentikan dan ahli politik serta parti parti yang bertanding perlu menghadapi risiko kehilangan sokongan rakyat di saat undian merka diperlukan. Ketika itu mungkin baru wakil rakyat akan berfikir mengenai suara rakyat tempatan dan makan menabur janji baru  untuk berkhidmat kepada rakyat jika diberikan peluang.


Tuesday, 9 August 2016

Taman Bandar Raub Bakal Jadi Kawasan Perumahan - Kawasan Hijau Jadi Mangsa Rakus Kontraktor?



TAMAN BANDAR DIMAJUKAN UNTUK PROJEK PERUMAHAN ELIT - KAWASAN HIJAU JADI MANGSA?


Kewujudan tempat riadah dalam sebuah bandar kecil sangat disenangi penduduk yang menghabiskan masa lapang bersama keluarga setiap hujung minggu. Mengekalkan kehijauan hutan menyegarkan suasana dan ketenangan yang sememangnya diperlukan untuk melepaskan lelah setelah penat berkerja. Paling utama hubungan kekeluargaan dapat dieratkan bila mengahbiskan masa berkualiti bersama dan sudah pasti kawasan riadah menjadi pilihan penduduk setempat.


Taman Bandar yang terletak di Jalan Sultan Abdul Samad, Raub antara pilihan penduduk untuk melakukan aktiviti rekreasi hujung minggu. Selain dari Taman Tasik Raub, Taman Bandar antara pilihan penduduk untuk berlibur bersama keluarga dalam suasana damai. Merupakan bekas padang golf sebelum dipindahkan ke Cheroh, Taman Bandar dipulihara oleh Majlis Daerah Raub dengan penanaman pelbagai jenis pokok dan tempat tersebut di naik taraf hingga menepati citarasa pelbagai palisan masyarakat yang mahu mengabadikan kenangan. Turut menjadi antara lokasi 'wajib' pengantin yang mahu suasana hijau taman, Taman bandar juga menjadi salah satu lokasi permainan kanak kanak yang paling selamat.


Berhadapan dengan Hospital Raub serta dilengkapi dengan kemudahan aktiviti bersukan ringan, ianya adalah satu tempat yang berjaya menarik perhatian ibubapa untuk anak anak berkenalan dengan pelbagai kaum yang mengunjungi tempat tersebut. Kemesraan antara kaum dapat di lihat bila mereka bermesra tanpa ada prejudis sesama mereka sambil bermain di taman tersebut.

Namun demikian, penduduk Raub bakal kehilangan kawasan riadah tersebut apabila ia bakal dimajukan sebagai lokasi perumahan bermula 1 Oktober 2016. Kawasan ini difahamkan akan dimajukan oleh sebuah syarikat untuk dijadikan kawasan perumahan elit dan ini merupakan kejutan buat penduduk Raub.

 Persoalan bakal menghantui penduduk Raub berkaitan kesesuaian lokasi tersebut yang akan dimajukan berikutan sejarah lama kawasan tersebut. Raub yang terkenal sebagai tapak perlombongan emas satu ketika dahulu merupakan antara pengeluar emas terbaik Malaysia dan kewujudan lombong emas di bawah tanah Raub tidak dapat di sangkal. Secara kebetulan Taman Bandar pula dikatakan berada di atas terowong lombong emas lama Raub dan ada beberapa kisah berkaitan kawasan tersebut yang masih menjadi bualan penduduk lama Raub. Antara yang masih diingati mereka ialah tiada bangunan boleh didirikan diatas terowong lama bagi mengelakkan tanah jerlus sekaligus meranapkan bangunan yang tersergam di atasnya. 


Bagaimana pula sebuah syarikat boleh mendapat kelulusan untuk mendirikan kawasan perumahan di tempat tersebut? Risiko yang bakal di hadapi syarikat tidak menjadi beban kepada penduduk tetapi kesan projek berkenaan dikhuatiri akan menyebabkan hospital yang berhadapan dengan Taman Bandar di cemari dengan sisa sisa habuk dari bangunan yang bakal di bina. Mengapa kawasan riadah yang berpotensi menjadi pilihan syarikat tersebut? 

Adakah laporan dari Jabatan Alam Sekitar telah diperolehi syarikat tersebut sebelum melakukan kerja kerja membina bangunan di kawasan tersebut? Persoalan paling utama ialah mengapa kawasan riadah tersebut dipilih untuk dijadikan lokasi perumahan? Siapa yang meluluskan lesen untuk syarikat berkenaan tidak dapat dipastikan namun demikian risiko pencemaran terhadap Hospital serta alam sekitar perlu diperjelaskan kontraktor berkenaan bagi mengelak sebarang masalah timbul apabila projek bermula.

Lokasi yang menjadi pilihan riadah penduduk Raub dikorbankan bagi memudahkan kontraktor membina perumahan elit yang dikatakan bermula dengan harga RM500,000.00 bagi setiap unit yang tersedia. Pembeli sasaran syarikat tentulah orang luar dan tidak ramai orang Raub mampu memiliki hartanah jika harganya semakin tidak munasabah dengan pendapatan. Perlu diingatkan juga pencemaran bakal berlaku dan ini bukan sahaja mengundang risiko kepada penduduk malahan alam sekitar Raub juga mampu terjejas jika projek berkenaan diteruskan.


Pihak Majlis Daerah Raub pula dikatakan tidak dapat berbuat apa apa kerana tidak lagi berkuasa keatas kawasan riadah tersebut dan pengambil alihan dilakukan secara 'Ghaib' terjadi. Siapakah pihak 'ghaib' tersebut yang berjaya meyakinkan syarikat kontraktor untuk membina perumahan dan lot kedai di atas tanah Taman Bandar? Lot kedai yang bakal di bina pula pastinya mencecah jutaan ringgit berikutan status eksklusif tanah tersebut. Siapa pula yang akan menjadi sasaran untuk memiliki lot kedai berkenaan?

Sikap tamak pemaju projek dan empunya tanah yang tidak memperdulikan kesan buruk terhadap alam sekitar dan keadaan ekonomi rakyat pula dilihat menjadi satu trend bagi memaksa rakyat menerima kemajuan tanpa persoalan. Adakah penduduk Raub tidak berhak mendapat satu kawasan reakreasi bagi mereka dan semua ini dilakukan atas nama kemajuan? 

Jangan hingga rakyat bersuara menentang kemajuan yang dibawakan kerana mereka juga berhak untuk mendapat keselesaan serta ketenangan fikiran. Perlukah projek berkenaan diteruskan syarikat yang di lantik dan memusnahkan satu kawasan hijau yang sangat diperlukan penduduk Raub? Mana hilangnya Ahli Parlimen Raub disaat diperlukan rakyat bagi meminta penangguhan projek berkenaan dan meminta kajian dilakukan dengan terperinci sebelum dimulakan? Mana hilangnya semua wakil rakyat yang menjanjikan khidmat kepada rakyat jika tidak dapat memberi sedikit harapan tetapi meminta rakyat mengundi mereka setiap kali pilihanraya?