Wednesday 31 August 2016

Naik Papan Tanda - Pemaju Lebih Berkuasa,Adakah Wujud 'Tangan Ghaib' Dalam Kelulusan Projek Taman Bandar Raub?

Penduduk Raub yang rata rata membantah projek pembangunan yang diluluskan oleh Majlis Daerah Raub (MDR) kesal dengan perancangan bandar yang dilakukan. Bagi mereka Taman Bandar Raub yang terletak berhadapan dengan Hospital Raub tidak perlu dikorbankan dengan projek penswastaan oleh SUK Negeri hanya kerana memenuhi kehendak pemaju.

Sejarah Raub yang terkenal dengan terowong lombong emas satu dan kebetulan Taman Bandar Raub terletak dalam jajaran terowong merupakan risiko yang bakal di hadapi oleh pembeli hartanah yang bakal dibangunkan. Selain dari masalah pencemaran dan kehilangan tempat riadah paling selamat,penduduk Raub turut menyatakan MDR sepatutnya menimbangkan keperluan perumahan bagi rakyat dan bukannya lot kedai yang mahal dan belum tentu dimiliki orang Raub sendiri.

SUK Pahang juga sepatutnya melihat keperluan perumahan berbanding dengan pembinaan lot kedai yang hanya ' mampu pandang'. Walau Menteri Besar Pahang telah menyatakan penolakan projek berkenaan secara tidak rasmi sewaktu di temui selepas perasmian mesyuarat Umno Bahagian Cameron yang dirasmikan oleh Perdana Menteri pada 27 Ogos 2016, papantanda yang dinaikkan oleh pihak pemaju menimbulkan kemusykilan. Adakah pihak pemaju lebih berkuasa daripada PBT dan Menteri Besar atau ada 'tangan ghaib' disebalik semua ini?

Adakah pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ( SPRM) perlu melihat kewujudan 'tangan ghaib' dalam kelulusan projek berkenaan? Mengapa Umno Raub hanya berdiam diri dan turut bersetuju dengan kemusnahan kawasan hijau yang bakal berlaku andainya projek ini diteruskan? Sejak kerusi Parlimen Raub dirampas DAP, Umno Raub seakan tidak berdaya membantu rakyat dalam masalah yang dikemukakan. Adakah Umno Raub memang tidak mahu mengambil kembali kepercayaan rakyat dalam isu ini?

'Tepuk dada,tanya selera', rakyat memerhati segalanya dengan minat dan mereka akan menggunakan kuasa memilih bila tiba ketikanya. Perancangan yang mungkin menguntungkan sebelah pihak dilihat akan memudaratkan sebelah pihak dan ini mengundang amarah rakyat terhadap kerajaan.

No comments:

Post a Comment