Friday 19 August 2016

Kerakusan Manusia Bakal Musnahkan Alam Sekitar Raub - Bantahan Tidak Beri Kesan Demi Keuntungan Pemaju?




KERAKUSAN MANUSIA BAKAL LENYAPKAN NILAI ALAM SEKITAR - TAMAN BANDAR RAUB MENJADI MANGSA MANUSIA.

Persekitaran yang nyaman bukan pertaruhan untuk dikorbankan atas nama kemajuan. Hutan mengambil masa yang panjang untuk pulih dari kerakusan tangan manusia yang merosakkannya demi keuntungan, begitu juga dengan nilai kesihatan persekitaran yang adakala terkorban dek nafsu manusia.


Dalam kepesatan menuju negara maju, manusia kadang terlupa alam sekitar turut memainkan peranan penting dalam kitaran hidup. Kompromi alam dan manusia membekalkan udara segar untuk dinikmati setiap orang adalah amat beharga dan tiada nilai yang mampu membayarnya. Kemajuan tidak di halang cuma bila kemajuan terlalu menghakis alam sekitar maka kemusnahan pasti akan berlaku dan ini merupakan malapetaka untuk kehidupan dan alam sekitar.



Raub merupakan satu daerah kecil dalam Pahang yang kini semakin menuju kepesatan dengan pertambahan penduduk. Keperluan tempat tinggal menjadi agenda penting untuk kerajaan dan Pihak Berkuasa Tempatan(PBT) termasuk kerajaan negeri. Peka dengan perkembangan ini, projek perumahan yang sesuai dengan pendapatan dan keselesaan penduduk telah di rancang dengan teliti. Namun demikian, mengorbankan kawasan hijau yang sedia ada demi kemajuan bukanlah tindakan yang bijak. Apatah lagi kawasan tersebut termasuk dalam lingkaran terowong lombong emas yang memberi risiko kepada pihak pemaju dan penduduk yang bakal mendiami kawasan tersebut.



Taman Bandar Raub yang merupakan satu satunya kawasan riadah bagi penduduk sekitar Raub bakal menjadi mangsa kemajuan yang di tagih rakyat. Satu projek pembangunan melibatkan kawasan perumahan serta lot kedai bakal di bina di kawasan tersebut dan ini memberi kejutan buat orang ramai yang sering mengunjungi tempat itu. Rata rata mereka tidak bersetuju dengan perancangan memajukan kawasan riadah yang menjadi tempat melepaskan tekanan mengharungi hidup. 



Boleh dikatakan hampir setiap hari penduduk sekitar Raub akan mengunjungi kawasan itu yang terletak berhadapan dengan Hospital Raub. Kawasan yang menjadi tumpuan penduduk sekitar merupakan kawasan hijau dan ini sangat mendatangkan kesan kepada mereka sekiranya projek pembangunan yang di rancang diteruskan kerajaan negeri dan PBT. Bagi mereka, mengorbankan kawasan itu bakal mendatangkan masalah kepada mereka dan pemaju projek kerana sejarah daerah Raub sendiri menyatakan kewujudan terowong lombong emas mengunjur dari Bukit Koman menghala ke bandar Raub. 






Sejarah kewujudan terowong lombong emas di Raub merupakan intipati utama kewujudan bandar Raub dan melalui pengetahuan penduduk asal Raub, terowong tersebut terletak di bawah kawasan Taman Bandar Raub dan ini menimbulkan persoalan bagaimana kelulusan projek berkenaan begitu mudah diberikan sedangkan risiko kepada pemilik harta tanah tidak didedahkan kepada bakal pembeli? Sudahlah kawasan riadah dikorbankan,risiko pula tidak diketahui oleh bakal pemilik dan ini menjadi polemik persoalan kepada penduduk Raub mengenai kewajaran projek diteruskan.


Pendirian Majlis Daerah Raub (MDR) dalam hal memajukan kawasan Taman Bandar turut menjadi perhatian kerana ada keraguan berkaitan apa yang telah digariskan oleh MDR sendiri bertentangan dengan projek berkenaan.





Campurtangan dari wakil rakyat yang di pilih juga amat mengecewakan apabila kepentingan rakyat tidak lagi menjadi keutamaan tetapi lebih memandang keuntungan di atas projek berkenaan. Konflik ini memperlihatkan sikap sebenar wakil rakyat yang tidak peduli nasib rakyat serta bantahan berkaitan projek yang di rancang dan ini antara penyebab kebencian rakyat terhadap retorik politik yang dijanjikan kepada rakyat ketika menghadapi pilihanraya. Jelas sekali rakyat memerhati segala tindak tanduk wakil rakyat yang pernah berjanji untuk melakukan apa sahaja yang boleh untuk memastikan suara rakyat didengari kerajaan. Kemana hilang semua itu ketika bantahan disuarakan oleh Ahli Majlis Daerah Raub setiap kali projek berkenaan dikemukakan dalam mesyuarat? Adakah kerana ada keuntungan yang bakal di perolehi menjadikan suara rakyat sudah tidak relevan kepada wakil rakyat?

Pertimbangan terhadap pencemaran  kesan pembangunan di Taman bandar raub turut perlu dipertimbangkan. Berhadapan dengan Hospital, Taman bandar Raub tidak sesuai untuk dijadikan lokasi perumahan kerana pencemaran pasti akan berlaku semasa pembinaan dan ini sesuatu yang tidak baik kepada kesihatan penduduk sekitar yang akan turut terkesan dengan habuk serta pencemaran lain. Walau pihak pemaju boleh 'berjanji' tahap pencemaran terkawal dan di bawah pemerhatian, ini bukanlah jaminan tidak akan berlaku masalah kepada alam sekitar di kawasan tersebut. Lokasi Hospital Raub yang hanya lebih kurang 200 meter dari Taman Bandar Raub pasti akan menerima tempias dari pembangunan tersebut.

Wajarlah sekali kerajaan negeri dan Majlis Daerah Raub mengkaji semula kesan projek berkenaan dan mengutamakan keselesaan rakyat dari memikirkan keuntungan semata-mata. Tidak ada gunanya bermegah dengan kewujudan kemajuan jika alam sekitar menjadi mangsa kerakusan pemaju dan pihak yang bakal mengaut keuntungan dari projek berkenaan. Usah biar pewaris akan datang hidup tanpa mengenali kawasan hijau dan hanya memandang kepesatan pembangunan yang telah mengorbankan nilai nilai alam sekitar.




Apakah nilai alam sekitar lebih murah dari keuntungan tangan rakus yang mahu memusnahkan keperluan manusia dan kaitannya dengan alam sekitar? Perlu diingatkan rakyat sentiasa memerhati apa sahaja yang dilakukan dan pastinya mereka akan bersuara jika sudah tidak mampu berkompromi dengan kemajuan mahupun kerosakan yang dilakukan manusia.

No comments:

Post a Comment