Wednesday, 29 November 2017

RUMAH GENERASI FELDA - MOGA ADA SINAR

MASIH ADAKAH SINAR DI HUJUNG TEROWONG?

Berikutan rungutan mengenai Perumahan Generasi Baru Felda (PGBF) satu tinjauan dilakukan di Felda Sungai Koyan bagi mengesahkan dakwaan bahawa perumahan tersebut masih belum diduduki dan kini telah menjadi kawasan 'tinggalan'.

Benar bagai di kata, keadaan rumah tersebut amat memyedihkan dengan pelbagai kerosakan serta semak samun yang melingkari rumah. Perumahan di Sg Koyan ini bermula dengan acara pecah tanah semasa PRU13 yang lalu di mana Adun Jelai, Dato Sri Wan Rosdy Wan Ismail telah merasmikannya dengan disaksikan peneroka, penerokawati dan sebahagian daripada generasi kedua Felda tersebut. Segala perancangan dan pembinaan rumah berjalan lancar di mana pada tahun 2016 fizikal rumah rumah tersebut telah sempurna. Pada tahun 2017, surat tunjuk minat telah diserahkan kepada bakal pembeli dalam satu majlis yang dihadiri Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Samad. Mereka dijanjikan semua urusan pinjaman bank akan diuruskan selewatnya Ogos 2017 namun hingga hari ini masih belum ada khabar mengenai hal tersebut.

Pembayaran sebanyak RM300 yang dibuat oleh bakal pembeli sebagai 'tanda minat' seperti tidak menjanjikan apa apa kepada mereka dan ini telah mengundang pelbagai persepsi negatif terhadap Felda dan Kerajaan. Namun demikian sifat sabar generasi tercabar juga apabila hal berkaitan perumahan ini seolah tidak menjadi keutamaan untuk diselesaikan Felda.

Generasi kedua ini masih menaruh harapan kepada Felda dan kerajaan agar isu ini diselesaikan dengan baik kerana bagi mereka Felda merupakan satu Institusi yang telah banyak berjasa kepada mereka dan keluarga selama ini. Malah jasa Tun Razak yang memberi peluang kepada Generasi pertama Felda masih menjadi ingatan mereka untuk tidak 'Menjahanamkan' Institusi Felda itu sendiri.

Apa yang dikhuatiri isu ini akan dimainkan oleh pihak tertentu bagi meraih sokongan menjelang PRU14 dengan pelbagai karut marut. Sebagai langkah awal, Felda sendiri perlu bertindak segera untuk 'Turun Padang' menjelaskan isu ini beserta penyelesaian dan bukan hanya memberi 'Teori' kepada Generasi Kedua. Usah mahu mengecilkan mereka kerana kini bukan lagi zaman 'Selak Akhbar' tetapi era maklumat di hujung jari membuatkan banyak hasutan amat mudah di terima mereka.

Satu klip video menunjukkan keadaan sebenar PGBF SG KOYAN.

Klik video : https://youtu.be/-8-vQnVRRSE


Sunday, 26 November 2017

CAMERON HIGHLANDS - PM AKAN TENTUKAN CALON DENGAN SEMANGAT BN

Semalam berlangsung Konvensyen Pemuda myPPP di mana mereka telah memohon kepada Pengerusi BN Dato Sri Najib Razak supaya mempertimbangkan agar kerusi P078 diberikan kepada Tan Sri M Kayveas sebagai calon 'Boleh Menang' di tempat tersebut. Saranan tersebut disampaikan oleh Pemuda myPPP dihadapan YB Khairy Jamaluddin semalam dan mereka yakin jika Kayveas menjadi calon Cameron Highlands, kerusi tersebut akan dipertahankan dan majoriti 462 undi semasa PRU13 sewaktu di wakili G.Palanivel dari MIC (ketika itu) akan dipertingkatkan dan melepasi sasaran. Sebagai makluman G.Palanivel telah di pecat dari MIC pada 2015 dan beliau kekal sebagai ahli Parlimen (Bebas) yang menyokong Barisan Nasional.

Mengambil kira kerja kerja yang telah dilakukan Kayveas sejak 2015, Pemuda myPPP berpendapat Kayveas mampu mempertahankan kerusi tersebut di PRU14 akan datang. Bagaimanapun YB Khairy Jamaluddin yang merasmikan konvensyen tersebut tetap berpendirian hanya PM berhak menentukan calon yang memenuhi kriteria dan boleh memenangi kerusi P078.

Dalam perasmian Konvensyen myPPP Pahang, Menteri Besar Pahang Dato Sri DiRaja Adnan Yaakob telah menyatakan daripada 222 kerusi parlimen Malaysia pasti ada satu kerusi untuk myPPP. Kenyataan bersifat 'Political Language' ini menerima tepukan dan sorakan ahli myPPP Pahang yang berlangsung di SRJK (T) Karak.

Selain Kayveas, MIC turut mahu mempertahankan kerusi tersebut yang telah mereka menangi sejak PRU11. Dato Sivaaraj Chandran yang juga Ketua Pemuda MIC telah dilantik sebagai penyelaras MIC Parlimen Cameron Highlands sejak Jun 2017 dikatakan turut berminat menjadi calon di kawasan tersebut. Kedua dua mereka di lihat bersungguh melaksanakan pelbagai program di Tanah Rata dan mendekati pelbagai lapisan masyarakat termasuk Orang Asli. Namun demikian persoalan yang timbul, mengapa hanya Tanah Rata sedangkan Parlimen Cameron Highlands terdiri dari 2 DUN - i - Tanah Rata, ii - Jelai. Sampai bila kedua dua mereka hanya dikenali masyarakat Tanah Rata dan langsung tidak dikenali di Jelai?

Jika diteliti, Kayveas dan Sivaraaj bersungguh membuat 'kerja' dan persaingan sihat ini di terima baik masyarakat Tanah Rata. Mereka yang senang dengan kedua dua individu tidak menghampakan jika ada program dijalankan di tempat pelancongan tanah tinggi Pahang. Walau ada sedikit perselisihan yang wujud dan di tambah pula ada yang mengapi apikan keadaan namun ia dapat diselesaikan oleh kedua dua mereka dengan Semangat Barisan Nasional dan ini sebenarnya menunjukkan kekuatan sebenar BN di Cameron Highlands.

Kayveas seorang yang boleh dikatakan 'Otai' dalam politik sememangnya mempunyai personaliti mesra dan senang bergaul dengan penduduk Cameron manakala Sivaaraj yang lebih muda pula ada kelebihan tersendiri walau pengalaman politik tidak setanding Kayveas. Berdasarkan pengamatan kerjasama kedua ahli politik ini sebenarnya mampu membawa anjakan pradigma dalam ertikata politik dan jika kekuatan mereka digandingkan tidak mustahil bukan sahaja Parlimen Cameron dapat dipertahankan malah Dun Tanah Rata juga mampu dirampas daripada DAP dengan kerjasama seluruh jentera BN termasuk MCA dan Gerakan.

Setiap parti politik dalam BN boleh memohon kerusi untuk mereka tandingi tetapi perlu diingatkan keputusan akhir adalah hak Perdana Menteri berdasarkan pertimbangan teliti serta laporan yang di terima. Jadi tidak timbul masalah dengan Semangat Barisan Nasional, sesiapapun samada Kayveas atau Sivaaraj yang berjaya mendapat kepercayaan PM, sokongan tetap diberikan. Perlu diingatkan pengundi Melayu menguasai peratusan undian di P078 selain masyarakat Orang Asli dan sasaran mendapatkan undi perlu difokuskan tanpa mengenepikan masyarakat India dan Cina.

Kepada Kayveas dan Sivaaraj, suka penulis ingatkan Parlimen Cameron Highlands P078 bukan hanya ada di Tanah Rata tetapi Dun Jelai juga ada dalam sempadan Parlimen tersebut. Penulis berharap Ketua Bahagian Umno Cameron Highlands akan membuka ruang kepada Kayveas dan Sivaaraj untuk bermesra dengan pengundi Dun Jelai pula selepas ini.

Wednesday, 22 November 2017

ZULPURI KENA KIFARAH BILA LAWAN MUFTI PAHANG?

Sessi Bajet 2018 Dewan Undangan Negeri Pahang panas apabila berlaku pertikaman lidah antara Dato Sri DiRaja Adnan Yaakob dan Tengku Zulpuri yang mewakili DAP. Pertikaman itu dipercayai kerana Zulpuri yang juga Adun Mentakab dengan angkuh menyatakan hujan masih turun dengan lebat dan banjir tetap berlaku di Pahang walau tiada pesta arak berlangsung di Pahang.

Adnan yang berang dengan kenyataan mempermainkan kuasa Allah telah bertanya kepada Zulpuri siapa yang tentukan kuasa alam yang terjadi di Pahang namun beliau hanya mendiamkan diri. Menteri Besar kemudiannya bertanyakan lagi adakah Zulpuri seorang Islam yang wajib percaya kepada Qada dan Qadar namun masih tidak di jawap oleh Adun DAP itu.

Pertikaman lidah yang terjadi di antara kedua mereka memaksa Adnan mengajak Zulpuri keluar dewan bagi menenangkan keadaan tegang akibat perbalahan tersebut. Difahamkan Menteri Besar tidak mengeluarkan sebarang bentuk ancaman bertumbuk atau mencabar Zulpuri di luar dewan namun ada pihak yang telah memanipulasi keadaan panas tersebut dan mentafsirkan pelawaan Adnan kepada Zulpuri sebagai 'Mencari Gaduh'. Sepertimana yang difahami setiap kenyataan dalam Dewan mempunyai imuniti dan kenyataan Zulpuri boleh di buat di luar dewan itu pun jika beliau cukup berani.

Zulpuri yang dikenali sebagai individu yang mahu menyaman Mufti Besar Pahang satu ketika dahulu boleh diibaratkan sebagai seorang yang berpegang kepada idealisme 'Liberal'. Beliau yang berang apabila Mufti Pahang mengeluarkan kenyataan DAP sebagai Rasis perlu memahami apa itu takdir dan kuasa alam semulajadi. Apakah sepanjang beliau menjadi ADUN Mentakab hujan tidak menimpa kediamannya walau tiada pesta arak dilakukan di rumahnya? Jika fikir logik akal kenyataan di dalam dewan  semestinya rumah beliau tidak dibasahi hujan bukan? Adakah Zulpuri mahu menyalahkan Tuhan atas banjir besar yang berlaku di Pahang?

Pautan isu mahu saman Mufti Pahang : http://www.sinarharian.com.my/mobile/edisi/pahang/isu-khutbah-aidiladha-dap-jumpa-mufti-1.436514

Beliau yang boleh dianggap sebagai 'macai' DAP sebenarnya cuba membela Lim Guan Eng yang gagal sebagai Ketua Menteri P.Pinang dalam menangani masalah banjir terburuk dalam sejarah pulau tersebut dengan cuba mengaitkan ketiadaan pesta arak di Pahang tetapi hujan dan banjir tetap berlaku. Namun begitu beliau tidak peka bahawa kerajaan negeri di bawah Adnan Yaakob cukup prihatin dengan setiap laporan Jabatan Meteorologi dan menyediakan kelengkapan mencukupi sekiranya berlaku musibah banjir. Malah setiap agensi dalam Pahang sentiasa siap sedia setiap kali hujan turun dengan kadar luar biasa. Ini kelebihan kerajaan yang prihatin dengan rakyat berbanding di Pulau Pinang yang ditadbir oleh DAP dan kegagalan persediaan banjir memang dipertanggungjawapkan atas bahu Lim Guan Eng. Mengapa Zulpuri tidak boleh menerima hakikat DAP hanya pandai 'menyalak' dari membantu? Adakah sudah ada tanda tanda DAP bakal lenyap dari Pahang dan beliau khuatir beliau turut tenggelam dalam  'Banjir PRU' kelak jadi bagi menampakkan beliau 'Buat Kerja' di mata pemimpin DAP maka beliau mempersoalkan kejadian banjir di Pahang?

Sudah sudahlah Zulpuri..anda tidak layak dalam CEC DAP malah rakyat Pahang sudah memberi isyarat jelas menolak kehadiran Adun dan Ahli Parlimen dari DAP.

Yang jelas pihak Pembangkang sudah tidak ada modal lantas membuat fitnah. Tidak ada pun perkataan 'bertumbuk' keluar dari mulut MB. MB cuma mengulangi pendirian yang dibuat semalam mengenai buruk baik datangnya dari Allah seperti maksud firman Allah dalam Surah An-Nisa' ayat 78.

KETUA PEMUDA MCA TENTUKAN CALON BN?

Ketua Pemuda MCA Wajar Cermin Diri

Ketua Pemuda MCA, Senator Datuk Chong Sin Woon sepatutnya memikirkan bagaimana mahu mengembalikan kepercayaan kaum Cina terhadap MCA yang kian 'lemau' sebelum mengajar pengundi Cameron Highlands siapa yang perlu mereka pilih kelak. Sejarah PRU 12 dan 13 jelas menampakkan kelemahan mereka malah Chong sendiri pernah tewas dalam pilihanraya.

Beliau yang mendahului Pengerusi Barisan Nasional ketika mengeluarkan kenyataan sepatutnya tahu ketika ini tiada individu boleh menyatakan dirinya sebagai calon PRU selagi Dato Sri Najib Razak belum mengumumkan senarai akhir calon. Beliau yang seringkali mengeluarkan kenyataan bersifat 'Dangkal' seharusnya tahu MCA sendiri tidak kuat malah ketika 'Tsunami Cina' berlaku mereka kalah teruk hingga Presiden MCA sendiri tidak berani mengangkat muka. Kenyataan Chong ketika di Cameron Highlands sebenarnya membahayakan kedudukan calon BN kerana teka teki siapa bakal calon masih menjadi isu panas dan beliau bukan individu yang berhak menamakan siapa calon BN.

Walau atas kapasiti Ketua Pemuda MCA, Chong sepatutnya tidak menamakan sebarang nama sebagai calon 'Favourite' beliau kerana ini boleh memberi tekanan jika nama yang beliau sebut tidak dicalonkan. Beliau yang sebelum ini pernah mengeluarkan kenyataan sembrono atas musibah banjir di Pulau Pinang hingga terpaksa meminta maaf atas ketelanjurannya perlu belajar 'Menghormati' pengundi kawasan lain. Malah jika di teliti, Chong sendiri tidak pernah menang kerusi pilihanraya dan kedudukannya sebagai Senator adalah kerana kuota yang diberikan kepada MCA. Satu perkara lagi, beliau menyatakan perkara tersebut di sambutan Jubli 70 tahun SJKC Bertam dan ini sangat tidak bersesuaian. Walau beliau boleh mempertahankan kenyataan itu di buat dihadapan masyarakat tetapi bagaimana dengan pelajar yang turut hadir meraikan majlis tersebut? Adakah selaku Timbalan Menteri Pelajaran beliau dibolehkan berkempen kepada pelajar yang tidak sepatutnya terlibat dengan politik? Kempen sebegini amat dikesali kerana Parlimen belum dibubarkan tetapi beliau boleh berucap begitu?

MCA yang hanya memenangi 7 kerusi dari 222 kerusi pada PRU13 sebenarnya perlu berubah jika masih mahu di terima Kaum Cina pada PRU14 akan datang. Adakah Chong tidak nampak undi MCA di Dun Tanah Rata dikalahkan oleh DAP? Eloklah sekiranya Chong tumpukan kawasan kalah terlebih dahulu dan kawasan 'Zon Merah' sebelum mengajar siapa yang perlu pengundi Cameron pilih. Bagaimana Chong mahu menjawap kekalahan MCA di Parlimen Raub, malah Liow Tiong Lai sendiri hampir kalah di Bentong.

Rumusannya Ketua Pemuda MCA sendiri perlu tahu kekuatan serta kelemahan parti sendiri sebelum mahu tentukan nama calon di Parlimen yang beliau sendiri tidak fahami sosio politiknya. Tindakan beliau menamakan calon sahaja sudah menunjukkan 'Kebiadapan' beliau terhadap kepimpinan tertinggi BN.

Pautan berkaitan kenyataan Chong : http://malaysiagazette.com/v2/blog/2017/11/20/mca-seru-undi-sivarraajh-di-cameron-highlands/

Juga baca : http://m.thesundaily.my/node/500587

Tuesday, 7 November 2017

CAMERON HIGHLANDS - 'BELI CALON' UNTUK KALAHKAN BN?

Suhu panas perebutan kerusi P078 Cameron Highlands semakin menarik dengan perkembangan terbaru yang sedang berlegar. Kali ini bukan hanya antara komponen BN tetapi sudah ada 'percaturan' tertentu bagi memastikan BN kalah kerusi tersebut.

Ada ura ura seorang calon sedang disediakan untuk bertanding menggunakan lambang lawan tetapi sebenarnya lebih merupakan strategi bagi memastikan calon BN tidak memperolehi kemenangan kecuali calon tertentu yang bertanding. Memandangkan kerusi CH terdapat 64% pengundi Melayu, sentimen bangsa akan digunakan untuk menawan kerusi itu melainkan jika pucuk pimpinan mengikut kehendak seseorang yang sedang ghairah mencatur kedudukannya.

Calon tersebut hanya memerlukan 40% sokongan pengundi Melayu bagi memperolehi majoriti sekaligus merampas kerusi tersebut dari BN. Bagi melancarkan perancangan tersebut dikatakan 2 nama sedang dipertimbangkan untuk percaturan ini. Masih belum dapat dipastikan siapakah di antara 2 nama ini yang sudah ada 'pertemuan sulit' dengan pencatur yang masih menyorokkan identitinya dan dipercayai hanya akan muncul di saat akhir sebagai 'Hero Penyelamat' kerusi Cameron Highlands.

Mengapa ini boleh terjadi dalam kedinginan suhu Cameron Highlands yang terkenal dengan kawasan tarikan pelancong domestik dan luar?  Antara sebab yang dipercayai menjadi faktor ini ialah keengganan pihak tertentu memberi kerusi tersebut kepada pihak tertentu yang mahu mereka diberikan peluang bertanding. Permainan 'Play Safe' ini dilihat sebagai strategi paling ampuh bagi menyakinkan pihak tertentu untuk menawarkan kerusi tersebut tanpa perlu 'keluar peluh'.

Perumpamaan Melayu ada menyebut - Umpama Durian dan Timun, menggolek timun kena, di golek pun timun kena juga - dan ini sedang terjadi tanpa sedar implikasi yang boleh menyebabkan kehilangan kerusi tersebut. Pada hemat penulis strategi ini sangat ketinggalan zaman kerana percaturan ini sangat mudah dikenali apabila rundingan bagi memastikan calon 'pakat pakat' dan calon lain menarik diri saat akhir sebelum tempoh bantahan pencalonan berlangsung. Selaku pemerhati politik, penulis hanya boleh memerhati dan penulis hanya ada 1 kertas undi bagi DUN dan 1 kertas undi bagi Parlimen, walau menang dengan majoriti 1 undi tetap menang dan boleh kalah walau dengan 1 undi.