Monday 25 July 2016

Parlimen P78 Cameron Highlands - Palanivel Sudah Boleh Ucap Selamat Tinggal, Siapa Calon Selepas Beliau?



PALANIVEL SUDAH BOLEH UCAP SELAMAT TINGGAL POLITIK?

Selepas memenangi undian dengan tipis dalam PRU13 di Parlimen Cameron Highlands, mantan Presiden MIC Dato Seri G.Palanivel tidak banyak membawa perubahan dalam landskap kawasan yang diwakilinya.

Dengan hanya majoriti 462 undian dalam pertembungan 5 penjuru itu, Palanivel yang mahu menyelamatkan kedudukannya selaku Presiden MIC ketika itu tidak meyakinkan dengan kemerosotan yang sangat ketara berbanding penyandang sebelum ini.


  • Palanivel - BN - 10,506
  • M Manogaran - DAP - 10,044
  • Mohd Shokri Mahmod - BERJASA - 912
  • Alagu Thangarajoo - Bebas - 308
  • Kisho Kumar Karthiveloo - Bebas - 101


Perlu diingatkan penyandang sebelum ini, Dato SK Devamany telah memenangi PRU12 dengan majoriti 3,117 sekaligus menunjukkan kemerosotan undian apabila Palanivel mengambil alih tempat sebagai calon. Perbandingan perolehan undian penyandang dengan pengganti ini menunjukkan perbezaan yang amat ketara dari sokongan akar umbi di kedua dua DUN Jelai dan Tanah Rata.



  • SK Devamany -BN - 9,164
  • Apalasamy - DAP - 6,047

Walau Palanivel telah menjawat jawatan Menteri atas kapasitinya ketika itu sebagai Presiden komponen Barisan Nasional, beliau gagal melaksanakan tugas sebagai ahli parlimen dengan berkesan. Dengan kontroversi yang melanda MI, beliau dilihat hanya menumpukan usaha untuk mempertahankan kedudukannya dan mengabaikan kawasan yang diwakilinya. Beberapa isu tempatan di Cameron Highlands gagal beliau tangani dengan baik selain mengabaikan tuntutan pengundi yang mahu beliau turun padang bersama pengundi. Seperti lazimnya beliau banyak mewakilkan kepada wakilnya bagi menghadiri program dan beliau mengelak diri dari bertandang ke kawasan sendiri. Malah sikap 'Bangsawan' beliau terserlah apabila masyarakat Orang Asli tidak senang dengan sikapnya yang tidak mesra ketika bersama dengan mereka.

Pergeseran dalaman MIC memainkan peranan dalam kegagalan beliau untuk turun padang mendekati pengundi apabila rungutan demi rungutan kedengaran berkaitan ketidakhadiran beliau setiap kali program dianjurkan. Lebih memburukkan keadaan, beliau telah diturunkan dari jawatannya dalam MIC apabila R.O.S mengarahkannya untuk meletak jawatan berikutan perbalahan antara beliau dan S.Subramaniam berlaku. Kewujudan dua kem dalam MIC juga menjadi sebab beliau kurang menumpukan perhatian di Cameron Highlands.

Beliau turut terpalit dengan kontroversi apabila rombakan kabinet dilakukan Perdana Menteri dengan mengambilkira kedudukannya yang tidak lagi menjadi Presiden MIC. Beliau yang pernah dilihat bersama Setiausaha Agung DAP selepas dikeluarkan dari senarai jemaah Menteri mula menimbulkan spekulasi mengenai pendiriannya sebagai Ahli Parlimen BN.

Percaturan BN di Parlimen Cameron Highlands kini perlu dilakukan kerana Palanivel tidak lagi mempunyai kredibiliti untuk mewakili BN dalam PRU14 kelak. Imej beliau yang sudah semakin suram dalam arus politik negara tidak memungkinkan kemenangan BN jika beliau di pilih sekali lagi sebagai calon P78 Cameron Highlands. Mungkin Pengerusi BN Pahang telah mempunyai senarai calon yang berkelayakan bagi menggantikan Palanivel untuk memastikan kemenangan BN di Pahang tidak terjejas.

Siapakah calon yang paling sesuai untuk dibawakan kepada pengundi P78 Cameron Highlands? Desas desus dari kemahuan pengundi rata rata mahukan mantan Ahli Parlimen dalam PRU12 kembali mewakili Cameron Highlands kerana menyenangi sikapnya yang lebih memahami pengundi selain dari personalitinya yang mesra rakyat. Pernah diselubungi kontroversi sewaktu mewakili Cameron Highlands apabila Pemuda Umno Bahagian Cameron mengadakan piket menolak kepimpinannya satu masa dahulu dan mendapat liputan media cetak hingga merosakkan reputasinya sebagai Ahli Parlimen.

Namun demikian bagai bidalan Melayu - laut mana yang tidak bergelora- Devamany telah belajar dari kesilapannya dan bersedia kembali bagi melaksanakan amanah sebagai wakil rakyat di Pahang. Mungkin percaturan MIC yang dikatakan akan mencalonkan Devamany semula bagi merampas kembali majoriti undi dari pembangkang perlu diperhalusi. Kerjasama erat antara DUN dan Parlimen hendaklah ditingkatkan demi kesejahteraan rakyat dan sebarang perbezaan pendapat perlu diketepikan jika mahu memastikan kemenangan milik BN.

Pastinya pucuk pimpinan tertinggi BN mempunyai solusi terbaik untuk diberikan kepada rakyat dan mengelakkan kekalahan dalam PRU14 berlaku. Segalanya akan ditentukan pengundi apabila tiba waktunya dan pasti BN mahu meraih kemenangan. Jika BN Pahang bersedia melakukan transformasi besar kemungkinan rakyat tidak ragu ragu memberi mandat yang lebih besar kepada Barisan Nasional dalam PRU14.




No comments:

Post a Comment