Tuesday 20 December 2016

P078 CAMERON HIGHLANDS - CALON MAMPU MENANG DIPERLUKAN UNTUK KEKAL KERUSI BN





MIC SUDAH HILANG TARING DI CAMERON HIGHLANDS - CALON MAMPU MENANG DIPERLUKAN KEKALKAN PENGUASAAN BN

Sesuatu yang menarik bakal calon bagi kerusi P078 Cameron Highlands yang kini di sandang Barisan Nasional sejak 2004. Merupakan antara kerusi panas yang menjadi perhatian untuk Pilihanraya Umum Ke-14 akan datang, kawasan tersebut yang hanya mempunyai 2 Dun menyaksikan SK.Devamany memberi laluan kepada Presiden MIC (ketika itu) dan bertanding di Sungai Siput pada 2013. G.Palanivel yang merupakan Presiden MIC diberikan keistimewaan untuk bertanding di P078 atas kapasiti beliau dalam Barisan Nasional.


Berjaya memperolehi kemenangan yang tidak menggambarkan sebagai kekuatan imej seorang Presiden kompnen BN, kemenangan Palanivel banyak di bantu undian dari Dun Jelai yang merupakan penyokong tegar Umno sejak sekian lama. Dengan kekuatan 3 rancangan Felda yang terdapat dalam Dun Jelai, Palanivel berjaya meraih kemenangan tipis dan ini menyelamatkan kedudukannya. 



Fakta PRU13 P078


  • Datuk Seri G.Palanivel (BN) - 10,506 (48.0%)
  • M.Manogaran (DAP) - 10,044 (45.9%)
  • Mohd Shokri Mahmood (BERJASA) - 912 (4.17%)
  • T.Alagu (Bebas) - 308 (1.41%)
  • K.Kisho Kumar (Bebas) - 101 ( 0.46%)
Dengan kemenangan tipis yang diperolehi MIC di kerusi yang sepatunya dimenangi dengan selesa jelas sekali calon luar kurang di terima pengundi yang mahu bakal calon untuk PRU14 di isi calon tempatan. Suara pengundi tempatan yang mahu perubahan dilakukan di Parlimen Cameron Highlands tidak menolak jika sistem kuota dikekalkan namun dari tinjauan yang dilakukan mereka berpendapat untuk memenangi hati pengundi calon tempatan perlu diperkenalkan. MIC bagi mereka berjaya meletakkan wakil yang cemerlang seperti SK Devamany namun untuk PRU14, pemilihan secara kritis perlu di beri keutamaan Umno Pahang sebelum memuktamadkan keputusan siapa bakal mewakili BN kelak.



Tidak menolak faktor calon memainkan peranan penting dalam pertarungan kali ini, Umno Cameron Highlands bersedia dengan apa juga yang bakal berlaku serta komited bagi membantu kemenangan BN. Program turun padang yang sentiasa dilakukan Adun Jelai, Dato Seri Wan Rosdy Wan Ismail telah banyak membuka mata pengundi terutama di Dun Tanah Rata walau mereka memilih DAP sebagai wakil rakyat nasib mereka tidak dipinggirkan. Peranan Palanivel yang dingin selepas disingkirkan dari kerusi Presiden MIC telah di ambil alih secara total oleh Wan Rosdy dan ini menarik perhatian hingga Adun Tanah Rata membuat keputusan enggan bertanding dalam PRU akan datang.


Fakta mengenai pengundi P078 Cameron Highlands


  • Dun Jelai -12,005
  • Dun Tanah Rata - 17,306
Pecahan pengundi P078 setakat Oktober 2016


  • Melayu - 10,381
  • Cina - 9174
  • India - 3544
  • Orang Asli - 6136
  • Lain Lain - 89
  • SS - 37
Jika di lihat dari pecahan pengundi mengikut kaum jelas sekali dikuasai kaum Melayu namum atas dasar kerjasama dalam komponen Barisan Nasional, 3 penggal kerusi berkenaan telah diberikan kepada wakil MIC dan keputusan akhir PRU13 agak kritikal apabila pengundi mula lebih memberi tumpuan faktor siapa yang akan mewakili mereka. Ini merupakan trend pengundi serta anak muda yang mehukan perubahan dilakukan dan bukan bersifat rassisme tetapi lebih kepada faktor keselesaan mereka bertemu dengan wakil rakyat yang boleh memahami aspirasi serta kehendak penduduk setempat. Mereka enggan lagi menerima calon luar yang tidak memahami sosio budaya kawasan tersebut yang agak unik. Dun Tanah Rata yang menjadi tumpuan pengunjung serta pelancong luar dan tempatan perlu pembangunan serta penambahbaikan yang maksimum bagi keselesaan mereka selain faedah dari kerajaan pusat untuk rakyat. Bagi Dun Jelai pula apa yang mereka perlukan adalah pembangunan sebagai titik tengah yang menghubungkan Cameron Highlands dengan pelawat dan sebagai kawasan yang menjadi laluan utama dari Kuala Lumpur sudah pasti pembangunan bagi menjana ekonomi setempat amat dialu-alukan.


Malah laluan Sungai Koyan-Cameron Highlands kini semakin sibuk terutama hujung minggu dan banyak manfaat yang boleh penduduk setempat jana dari kesibukan ini. Sudah tentu kerjasama Pusat dan Negeri bagi membangunkan kawasan serta laluan akan lebih baik jika wakil P078 adalah orang tempatan yang tahu selok belok kemana peruntukan wajar disalurkan sebaik mungkin. Isu pembangunan bagi belia turut menjadi tuntutan pengundi yang mahukan suara anak muda di dengari di peringkat Parlimen dan mereka agak hampa apabila wakil yang di pilih dalam PRU13 tidak memberi tumpuan kepada apa yang telah mereka suarakan kerana Palanivel tidak mampu berkomunikasi dengan baik malah amat jarang turun padang(Jika ada beliau hanya sekadar tukang senyum dan angguk).

Antara perkara yang perlu dipertimbangkan Umno Pahang dan BN Pahang bagi memilih calon sesuai bagi mewakili P078 pada PRU14 adalah faktor penerimaan rakyat setempat terhadap calon. Setakat ini kerusi P078 dikatakan sudah 'di pinang' oleh mereka yang berminat untuk bertanding di kawasan tersebut atas alasan semangat muhibbah BN tetapi pernahkah mereka turun padang bertemu dengan pengundi? Jika hanya sekadar datang setelah dicalonkan adalah lebih baik mereka lupakan hasrat untuk bertanding di Cameron Highlands kerana kehadiran mereka hanya akan menambah persepsi negatif terhadap BN sekaligus mengurangkan keyakinan pengundi bahawa nasib mereka akan terbela.

Perlu diingatkan kini politik negara semakin menarik apabila berlaku pertambahan parti yang bakal bertanding serta pengaruh semasa yang sentiasa dimainkan pihak pembangkang mengenai kelemahan BN mentadbir negara namun begitu dengan kejayaan Perdana Menteri Dato Sri Hj Mohd Najib Tun Abdul Razak menangani isu semasa dan kemampuan Adun menyelesaikan isu berbangkit akan menjadi penilaian kepada rakyat memilih siapa yang terbaik buat mereka. Pilihan adalah di tangan rakyat dan semestinya mereka mahu khidmat terbaik untuk mereka dan ini merupakan antara perkara asas kepada pemilihan calon kelak. Siapa yang rakyat pilih bagi mewakili mereka di Parlimen dan membawa suara akar umbi?

Memang sukar bagi BN Pahang menentukan siapa yang layak menjadi calon P078 Cameron Highlands namun semua itu bergantung kepada penilaian Pengerusi Barisan Nasional Pusat dan pertimbangan BN Pahang sendiri setelah yakin dengan kebolehan calon serta kemampuan calon memenangi kerusi tersebut. Mungkin akan ada sedikit pergeseran namun segalanya mampu diselesaikan dengan semangat muhibbah Barisan Nasional. Barisan Nasional kini lebih rasional dalam menentukan kriteria yang rakyat mahukan dan sikap keterbukaan ini merupakan evolusi yang baik dalam amalan sistem Demokrasi Berparlimen yang diamalkan sejak 1957.

Calon mampu menang pasti akan menjadi pilihan terbaik bagi BN mendepani PRU14 dan ini sesuatu yang memerlukan pertimbangan mendalam bagi memastikan Pahang tidak jatuh ke tangan pembangkang sekaligus mengekalkan status sebagai salah satu kubu kuat Barisan Nasional. Jika semua faktor dan suara rakyat di ambil kira, penulis yakin kerusi P0798 akan kekal di tangan BN pada PRU14 kelak.





No comments:

Post a Comment