Tuesday 3 October 2017

KOREK EMAS ATAU DALAMKAN SUNGAI?

Penduduk sebuah kampung tradisional yang terkenal dengan aktiviti 'Homestay', Kuala Medang memprotes satu kerja mendalamkan sungai di kampung tersebut. Kerja kerja mendalamkan sungai tersebut bermula pada pertengahan September 2017 meninbulkan kemarahan orang kampung apabila banyak aktiviti membabitkan ekonomi setempat terganggu.

Satu laporan polis telah di buat di Balai Sungai Koyan membantah projek berkenaan. Dipercayai projek berkenaan merupakan projek seorang kerabat DiRaja Pahang berdasarkan papan tanda yang didirikan di tapak projek dan ini menimbulkan keraguan kepada masyarakat setempat kerana bagi mereka mustahil kerabat DiRaja Pahang terlibat dalam projek yang boleh menjejaskan pendapatan orang kampung.

Seorang penduduk kampung turut mengadu kapal korek berkenaan melakukan aktiviti yang meragukan kerana batu yang kononnya di korek tidak dinaikkan ke darat sebaliknya dilonggokkan di belakang kapal korek berkenaan. Jentera pengorek (excavator) yang terdapat di sungai turut menimbulkan persoalan kerana jentera berkenaan bukanlah jentera yang sesuai melakukan pekerjaan mengorek sungai bagi membantu mendalamkan sungai sebaliknya hanya sesuai membuat kerja di darat.

Orang kampung yang tidak berpuashati dengan projek tersebut bertindak merobohkan papan tanda dan menghalang kerja mengorek sungai apabila semakin banyak kerosakan terjadi selepas projek berkenaan dilaksanakan. Ikan sungai yang mempunyai nilai eksotik semakin sukar didapati dan air sungai semakin keruh hingga menjejaskan kehidupan serta penempatan sepanjang sungai Jelai. Difahamkan projek berkenaan telah dihentikan apabila orang kampung 'mengamuk' dan pihak Pejabat Tanah Dan Galian bersama Jabatan Peparitan dan Saluran telah turun ke lokasi berkenaan. ADUN Jelai, Dato Sri Wan Rosdy Wan Ismail difahamkan sedang meneliti perkara ini dan tindakan sedang dilakukan bagi mengatasi masalah berkaitan.

Mungkin kerajaan negeri perlu campur tangan dalam hal berkaitan kerana jelas nama seorang Kerabat DiRaja Pahang terpampang dan ini boleh menimbulkan kemarahan rakyat kepada kerajaan negeri.

Klik : https://youtu.be/s6f6_ztD6lA

Klik : https://youtu.be/76hrDKenTA0

No comments:

Post a Comment